Aadabul Ikhtilaf
Oleh Abu Anas Fathurrahman bin Dawoed, BA Syariah, Universiti Islam Madinah
Guru Agama, Madrasah Wak Tanjong al-Islamiah
Pendahuluan
Isu perbezaan pendapat merupakan sunnatullah yang tidak dapat
dielakkan, ianya adalah suatu realiti yang berpunca dari kepelbagaian
tahap minda atau keupayaan mental, perbezaan bahasa dan latar belakang,
begitu juga dengan persepsi seseorang yang berbeza terhadap sesebuah
dalil atau nas. Kesemuanya ini secara tidak langsung menimbulkan
kepelbagaian serta percambahan pandangan dan pendapat.
Salah satu tanda kebesaran Allah ialah mencipta makhluk dengan
keunikannya tersendiri. Setiap makhluk yang diciptakan dengan
keunikannya menunjukkan tanda kebesaran Allah. Oleh yang demikian,
tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman
sahabat sehinggalah ke hari ini. Al-Imam ash-Shaatibi di dalam kitabnya
al-I'tisom menyebut:
"Sesungguhnya perbezaan pendapat yang
terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku pada
masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman
khulafa' ar-Raasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan
sehingga zaman para taabiin dan mereka tidak saling mencela di antara
satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)
Hal ini juga menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah kepada umat manusia.
Al-Qaasim bin Muhammad bin Abi Bakar as-Siddiq dalam hal ini ada menyatakan:
"Sesungguhnya perbezaan pendapat dikalangan sahabat adalah satu rahmat bagi manusia" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/901)
Berkata Umar bin Abdul Aziz:
"Tidak aku
sukai jika para sahabat tidak berbeda pendapat, kerana jika mereka
semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam
kesempitan" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/902)
Telah berkata Imam Malik:
"Sesungguhnya
perbezaan pendapat di kalangan ulama' adalah rahmat dari Allah ke atas
umat ini, setiap seseorang di kalangan mereka mengikut apa yang benar
pada pandangannya, setiap dari mereka berada dalam petunjuk dan setiap
dari mereka inginkan keredhaan Allah" (Kasyful Khafa' 1/68)
Adab-Adab Dalam Berbeza Pendapat
Perbezaaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam terdahulu dalam
sejarah awal Islam dan masih berlaku hingga kini adalah sebahagian
daripada manifestasi kepelbagaian ini. Fenomena ini bermanfaat dan
positif sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga
adab-adab dan etika yang betul sepertimana yang digariskan oleh
syara'. Perlu diketahui bahawa adanya perkara-perkara yang boleh kita
menerima perbezaan pendapat dan inilah yang dinamakan sebagai
perkara-perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad), manakala
dalam perkara-perkara kulli (dasar) atau qat'i (muktamad) maka kita
tidak sekali-kali boleh mempertikaikannya.
Ulama' telah menetapkan beberapa garis pandu mengenai adab-adab dan etika dalam berbeza pendapat, di antaranya:
1. Ikhlas dan jauhkan diri dari mengikut hawa nafsu.
Ikhlas adalah syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah. Maka
adalah satu kewajipan bagi seseorang yang ingin menegakkan atau mencari
kebenaran supaya menghindarkan dirinya dari hawa nafsu.
Sifat kemegahan pada diri sendiri dalam mencari kebenaran juga adalah
suatu sifat yang harus dihindarkan agar kita tidak digolongkan dalam
sabda Rasulullah :
"Barangsiapa yang menuntu
ilmu untuk bertikam lidah dengan para ulama', atau ingin memalingkan
wajah-wajah manusia kepadanya maka Allah akan memasukkannya ke dalam
api neraka" (at-Tirmizi 414)
Salah satu dari tanda-tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup
menerima kebenaran walaupun datangnya seseorang yang lebih rendah
martabatnya, sepertimana yang berlaku kepada Amirul mu'minin Umar di
mana beliau telah menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang
perempuan yang lebih rendah martabatnya.
2. Mengembalikan segalanya pada al-Quran dan Sunnah dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.
Firman Allah yang berbunyi:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ
"Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan Rasul" (an-Nisa' : 59).
Menjadi satu kewajipan bagi setiap insan untuk menjadikan al-Quran dan
Sunnah Rasulullah sebagai tempat rujukan yang paling utama dan
menjadikannya alat neraca yang menimbang setiap pendapat yang
dikeluarkan.
Allah merahmati para ulama' yang sentiasa memberi peringatan kepada
kita agar tidak mengambil kata-kata mereka seratus peratus melainkan
setelah kita nilai ianya dengan al-Quran dan Sunnah. Bukan satu di
antara mereka yang mengatakan
"apa yang
kamu dapat dariku mengenai suatu pendapat yang bercanggah dengan
al-Quran dan Sunnah maka campakkanlah ianya ke tembok"
Orang yang ikhlas tidak hanya memikirkan untuk mengalahkan lawannya
sebaliknya dia lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu
datang dari lawannya.
3. Tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama' lain dalam masalah-masalah ijtihaadiyyah.
Satu perkara yang harus kita terapkan dalam mana kita berbeda pendapat
ialah jangan sesekali kita menghina atau merendahkan pandangan orang
lain selagimana ianya berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh
diperselisihkan oleh syara' iaitu perkara- perkara juz'i (cabang) atau
zanni (tidak muktamad).
Imam al-Auzaa'i telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mencium
isterinya, samada ianya membatalkan wuduk atau tidak. Beliau menjawab:
"jika
aku ditanya maka aku akan menjawab, wajib ke atasnya berwuduk, tetapi
jika dia tidak berwuduk maka aku tidak akan mencela atau menghinanya". (Fathul Barr Fi Tartib at-Tamhid 3-245)
4. Menghormati pandangan ulama' yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah juz'i dan mengambil pandangannya jika perlu.
Contoh tauladan lain yang boleh diambil ialah dari kisah imam besar
kita al-Syafi‘e rahimahullah yang mengimami solat subuh di masjid
berhampiran kubur Abu Hanifah. Beliau solat tanpa membaca doa qunut dan
apabila ditanya oleh seseorang sehabis solat, beliau menjawab:
"Adakah aku ingin melakukan sesuatu yang berlainan dari apa yang diajar oleh Abu Hanifah padahal aku berada berhampirannya". (Hujjatullah al-Balighah 335)
5. Meninggalkan beberapa perkara sunnah kerana tidak mahu menyanggahi orang ramai.
Seringkali para ulama' memberi peringatan di dalam kitab-kitab mereka
tentang perkara ini. Agar kita meninggalkan beberapa perkara yang kita
anggap sunnah demi perpaduan dan demi menghormati pandangan ulama' yang
lain apabila kita berada di tempat atau di majlisnya.
Berkata Abdur Rahman bin Yazid: Kami
bersama Abdullah bin Mas'ud. Ketika kami masuk ke masjid Mina dan
amirul mu'minin sedang menjadi imam pada ketika itu, lalu Ibnu Mas'ud
pun bertanya: "Berapa rakaatkah amirul mu'minin solat?" mereka
menjawab: Empat rakaat. Lalu Ibnu Mas'ud melakukan solat empat rakaat.
Setelah selesai solat kami bertanya kepada Ibnu Mas'ud: "Tidakkah kamu
telah memberitahu kami bahawa Rasulullah dan Abu Bakar telah melakukan
solat dua rakaat?" Beliau menjawab: "Ya, bahkan sekarang juga aku
mengatakan demikian, akan tetapi Uthman menjadi imam dan aku tidak mahu
menyanggahinya". (as-Sunan al-Kubra 3/144).
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam majmu' fataawa berkata:
"Jika seorang ma'mum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu
solat fajar atau solat witir maka hendaklah dia qunut bersama imam,
samada imam berqunut sebelum atau selepas ruku'. Jika imam tidak
melakukan qunut maka hendaklah ma'mum tidak melakukannya bersama imam,
walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan ma'mun
berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi
perpaduan" (majmu' fataawa 22/268)
6. Menjauhi sifat ta'assub (fanatik) dan berkelompok.
Salah satu sifat yang harus kita hindarkan untuk memperolehi jalan
kebenaran dan tidak menegakkan benang yang basah ialah sifat fanatik
terhadap pegangan mazhab, kumpulan, negara atau guru-gurunya. Sifat
fanatik dan berkelompok hanya akan menjadikan orang yang berbeza
pendapat tidak mahu berganjak dari pandangannya. Apa yang mereka
lakukan bukanlah semata-mata kerana Allah Taala tetapi disebabkan
faktor-faktor lain.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan:
"Cintailah
seseorang dengan berpatutan kerana mungkin dia kelak akan menjadi
orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana
mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai." (Timizi 1920)
Tanamkan dalam diri dengan pegangan bahawa setiap manusia boleh
diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad ,
kerana hanya baginda sahajalah yang ma'som dan terhindar dari
kesilapan.
7. Utamakan sikap persaudaraan (ukhuwwah)
Firman Allah yang bermaksud:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu." (al-Hujurat 10)
Adakalanya di dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran akan
terjadi perselisihan dan pertelagahan, maka di waktu itu hendaklah
kedua belah pihak menyedari bahawa perpaduan dan persaudaraan itu lebih
diutamakan dari perpecahan.
Banyak lagi perkara-perkara penting yang harus diterapkan dalam
perbincangan serta perdebatan untuk meraih kebenaran. Apa yang
disebutkan hanyalah beberapa perkara penting yang harus ditekankan.
Perhatikanlah kata-kata Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai perkara ini:
"Para
pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka
kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan
merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan
dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jamaah dan
merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun
kebencian yang batin. Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan
hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang
setanding dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan.
Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling
tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada
perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam
al-Quran dan as-Sunnah" (as-Sahwah al-Islamiyyah 27)
Perbahasan di kalangan bijak pandai agama haruslah diteruskan dan
disuburkan agar ianya dapat menjana generasi yang lebih peka dan lebih
terbuka mindanya. Akan tetapi jika perbahasan yang berlaku tidak
didasari oleh rasa ikhlas dan menjauhkan dari sifat ta'assub, maka dari
perbahasan tersebut akan lahirlah perbalahan. Adab-adab dalam berbeza
pendapat harus diterapkan di dalam diri kita agar perbahasan dan
perbezaan yang berlaku dikalangan umat Islam menjadi satu rahmat bagi
kita dan bukannya satu bencana yang melanda. Wallahu A'lam
__________________________________________
Rujukan :
- Raf'ul Malam an Aimmatil A'lam Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Maktabul Islami.
- Al-Khilaf bainal Ulama' Asbaabuhu wa Mauqifuna Minhu, Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen, http://www.ibnothaimeen.com
- Jaami' Bayaanil Ilm, Abu Naim al-Asbahani Matbaah as-Saadah.
- Sunan ad-Daarimi, Abdullah bin Abdur Rahman, Dar ibn Hazm.
- Majmu' al-Fataawa Islam Ibn Taimiyyah Maktabah al-Obaikan
- Fathul Barr fi at-Tartib al-Fiqhi li Tamhid Ibn Abdil Barr, Muhammad al-Maqrawi, Majmu' at-Tuhaf an-Nafais ad-Dauliah
- As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, Dar al-Kutubul al-Ilmiah
- Fikhul Khilaf Dr Awadh bin Mohd Al-Qarni, Dar al-Andalus al-Khadra'
- Adabul Ikhtilaf, Said bin Abd al-Qadir,
- al-I'tisom, Ibrahim bin Musa, Maktabah at-Tauhid
- As-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al- Mazmum, Yusuf al-Qardhawi, Dar al-Sahwah