Showing posts with label Cabang-cabang Ilmu. Show all posts

Mengundi dan Haji...Mana Lebih Perlu Diutamakan Menurut Syarak

Isu terbaru yang tercetus di Negara sekarang ialah berkaitan tangguh haji sebab mengundi..

Wah,kalau kita lihat dari tajuknya agak terkesotlah jiwa2 orang Islam,soal ibadah pun dipolitikkan jugak..kan?

Namun,sebelum kita menjatuhkan hukuman dan penghakiman,perlu kita meneliti beberapa perkara yang mungkin disana setelah kita memahaminya,lapanglah dada..tenteramlah jiwa yang gundah gelana..

Dalam isu ini,saya ingin berkongsi satu artikel yang telah di tulis oleh sahabat saya yang merupakan pengerusi FELO MANHAL(Markaz Pengumpulan dan Hasilan Penyelidikan PMRAM), MANHAL adalah satu badan yang melakukan kajian dan penyelidikan untuk memperjelaskan tentang sesuatu isu berdasarkan dalil-dalil serta fatwa-fatwa yang diambil daripada ulama' Mu'tabar..

Jadi,untuk isu ini...pihak MANHAL telah mengeluarkan satu artikel kajian dan menerangkang isu ini..harap dapat memberi penerangan kepada semua,anda yang membaca ini wajib memberi dan menyebarkan penerangan ini kepada orang ramai agar isu ini tidak disalah ertikan dan sekaligus mengelakkan timbulnya fitnah.

Allah S.W.T Berfirman :

"Maka Tanyalah 'ahlinya' jika kamu tidak mengetahui"

-----------------------------


Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1-   Islam
2-   Baligh
3-   Berakal
4-   Merdeka
5-   Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

-      Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
-      Kewajipan hanya sekali sahaja
-      Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
-  Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
 
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

-          Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
-          Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
-          Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
-          Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

 “Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1-   Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2-   Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3-   Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4-   Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5-   Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1-   “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2-   “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3-   Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4-   “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5-   Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

6-   “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

-          Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
-          Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
-          Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
-          Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1-   Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2-   Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3-   Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

-          Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
-          Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
-          Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

 Feqh Aulawiyat : -

-          Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
-          Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1-   Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2-   Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3-   Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4-   Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1-   Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2-   Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3-   Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4-   Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5-   Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6-   Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-   Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2-   Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3-   Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4-   Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5-   Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6-   Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami

[1]  Hasyiah Baijuri, jilid pertama, cetakan Dar Al-Kutub Al-Islami, m/s 591
[2] Nihayatul Sul Fi Syarhi Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, jilid pertama, m/s 98
[3]  Zad Al-Ma’ad, oleh Imam Ibnu Qayyim. Rujuk kitab Al-Intikhabat Ahkam Wa Dhawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam, m/s 33
[4]  Sahih Muslim no 35
[5]  Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 138-139
[6] Dhawabit Al-Maslahat, oleh Dr Said Muhamad Ramadhan Al-Buti, m/s 261

Adab Berbeza Pendapat

Aadabul Ikhtilaf
Oleh Abu Anas Fathurrahman bin Dawoed, BA Syariah, Universiti Islam Madinah
Guru Agama, Madrasah Wak Tanjong al-Islamiah






Pendahuluan


Isu perbezaan pendapat merupakan sunnatullah yang tidak dapat dielakkan, ianya adalah suatu realiti yang berpunca dari kepelbagaian tahap minda atau keupayaan mental, perbezaan bahasa dan latar belakang, begitu juga dengan persepsi seseorang yang berbeza terhadap sesebuah dalil atau nas. Kesemuanya ini secara tidak langsung menimbulkan kepelbagaian serta percambahan pandangan dan pendapat.

Salah satu tanda kebesaran Allah ialah mencipta makhluk dengan keunikannya tersendiri. Setiap makhluk yang diciptakan dengan keunikannya menunjukkan tanda kebesaran Allah. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman sahabat sehinggalah ke hari ini. Al-Imam ash-Shaatibi di dalam kitabnya al-I'tisom menyebut:

"Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku pada masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman khulafa' ar-Raasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para taabiin dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)

Hal ini juga menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah kepada umat manusia.

Al-Qaasim bin Muhammad bin Abi Bakar as-Siddiq dalam hal ini ada menyatakan: "Sesungguhnya perbezaan pendapat dikalangan sahabat adalah satu rahmat bagi manusia" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/901)

Berkata Umar bin Abdul Aziz: "Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeda pendapat, kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/902)

Telah berkata Imam Malik: "Sesungguhnya perbezaan pendapat di kalangan ulama' adalah rahmat dari Allah ke atas umat ini, setiap seseorang di kalangan mereka mengikut apa yang benar pada pandangannya, setiap dari mereka berada dalam petunjuk dan setiap dari mereka inginkan keredhaan Allah" (Kasyful Khafa' 1/68)

Adab-Adab Dalam Berbeza Pendapat

Perbezaaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam terdahulu dalam sejarah awal Islam dan masih berlaku hingga kini adalah sebahagian daripada manifestasi kepelbagaian ini. Fenomena ini bermanfaat dan positif sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab-adab dan etika yang betul sepertimana yang digariskan oleh syara'. Perlu diketahui bahawa adanya perkara-perkara yang boleh kita menerima perbezaan pendapat dan inilah yang dinamakan sebagai perkara-perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad), manakala dalam perkara-perkara kulli (dasar) atau qat'i (muktamad) maka kita tidak sekali-kali boleh mempertikaikannya.

Ulama' telah menetapkan beberapa garis pandu mengenai adab-adab dan etika dalam berbeza pendapat, di antaranya:

1. Ikhlas dan jauhkan diri dari mengikut hawa nafsu.

Ikhlas adalah syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah. Maka adalah satu kewajipan bagi seseorang yang ingin menegakkan atau mencari kebenaran supaya menghindarkan dirinya dari hawa nafsu.

Sifat kemegahan pada diri sendiri dalam mencari kebenaran juga adalah suatu sifat yang harus dihindarkan agar kita tidak digolongkan dalam sabda Rasulullah : "Barangsiapa yang menuntu ilmu untuk bertikam lidah dengan para ulama', atau ingin memalingkan wajah-wajah manusia kepadanya maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka" (at-Tirmizi 414)

Salah satu dari tanda-tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya seseorang yang lebih rendah martabatnya, sepertimana yang berlaku kepada Amirul mu'minin Umar di mana beliau telah menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang perempuan yang lebih rendah martabatnya.

2. Mengembalikan segalanya pada al-Quran dan Sunnah dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang berbunyi:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ

"Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan Rasul" (an-Nisa' : 59)

Menjadi satu kewajipan bagi setiap insan untuk menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai tempat rujukan yang paling utama dan menjadikannya alat neraca yang menimbang setiap pendapat yang dikeluarkan.

Allah merahmati para ulama' yang sentiasa memberi peringatan kepada kita agar tidak mengambil kata-kata mereka seratus peratus melainkan setelah kita nilai ianya dengan al-Quran dan Sunnah. Bukan satu di antara mereka yang mengatakan "apa yang kamu dapat dariku mengenai suatu pendapat yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah maka campakkanlah ianya ke tembok"

Orang yang ikhlas tidak hanya memikirkan untuk mengalahkan lawannya sebaliknya dia lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu datang dari lawannya.

3. Tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama' lain dalam masalah-masalah ijtihaadiyyah.

Satu perkara yang harus kita terapkan dalam mana kita berbeda pendapat ialah jangan sesekali kita menghina atau merendahkan pandangan orang lain selagimana ianya berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syara' iaitu perkara- perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad).

Imam al-Auzaa'i telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mencium isterinya, samada ianya membatalkan wuduk atau tidak. Beliau menjawab: "jika aku ditanya maka aku akan menjawab, wajib ke atasnya berwuduk, tetapi jika dia tidak berwuduk maka aku tidak akan mencela atau menghinanya". (Fathul Barr Fi Tartib at-Tamhid 3-245)

4. Menghormati pandangan ulama' yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah juz'i dan mengambil pandangannya jika perlu.

Contoh tauladan lain yang boleh diambil ialah dari kisah imam besar kita al-Syafi‘e rahimahullah yang mengimami solat subuh di masjid berhampiran kubur Abu Hanifah. Beliau solat tanpa membaca doa qunut dan apabila ditanya oleh seseorang sehabis solat, beliau menjawab: "Adakah aku ingin melakukan sesuatu yang berlainan dari apa yang diajar oleh Abu Hanifah padahal aku berada berhampirannya". (Hujjatullah al-Balighah 335)

5. Meninggalkan beberapa perkara sunnah kerana tidak mahu menyanggahi orang ramai.

Seringkali para ulama' memberi peringatan di dalam kitab-kitab mereka tentang perkara ini. Agar kita meninggalkan beberapa perkara yang kita anggap sunnah demi perpaduan dan demi menghormati pandangan ulama' yang lain apabila kita berada di tempat atau di majlisnya.

Berkata Abdur Rahman bin Yazid: Kami bersama Abdullah bin Mas'ud. Ketika kami masuk ke masjid Mina dan amirul mu'minin sedang menjadi imam pada ketika itu, lalu Ibnu Mas'ud pun bertanya: "Berapa rakaatkah amirul mu'minin solat?" mereka menjawab: Empat rakaat. Lalu Ibnu Mas'ud melakukan solat empat rakaat. Setelah selesai solat kami bertanya kepada Ibnu Mas'ud: "Tidakkah kamu telah memberitahu kami bahawa Rasulullah dan Abu Bakar telah melakukan solat dua rakaat?" Beliau menjawab: "Ya, bahkan sekarang juga aku mengatakan demikian, akan tetapi Uthman menjadi imam dan aku tidak mahu menyanggahinya". (as-Sunan al-Kubra 3/144).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam majmu' fataawa berkata: "Jika seorang ma'mum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka hendaklah dia qunut bersama imam, samada imam berqunut sebelum atau selepas ruku'. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah ma'mum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan ma'mun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan" (majmu' fataawa 22/268)

6. Menjauhi sifat ta'assub (fanatik) dan berkelompok.

Salah satu sifat yang harus kita hindarkan untuk memperolehi jalan kebenaran dan tidak menegakkan benang yang basah ialah sifat fanatik terhadap pegangan mazhab, kumpulan, negara atau guru-gurunya. Sifat fanatik dan berkelompok hanya akan menjadikan orang yang berbeza pendapat tidak mahu berganjak dari pandangannya. Apa yang mereka lakukan bukanlah semata-mata kerana Allah Taala tetapi disebabkan faktor-faktor lain.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan: "Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana mungkin dia kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai." (Timizi 1920)

Tanamkan dalam diri dengan pegangan bahawa setiap manusia boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad , kerana hanya baginda sahajalah yang ma'som dan terhindar dari kesilapan.

7. Utamakan sikap persaudaraan (ukhuwwah)

Firman Allah yang bermaksud:  
 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu." (al-Hujurat 10)

Adakalanya di dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran akan terjadi perselisihan dan pertelagahan, maka di waktu itu hendaklah kedua belah pihak menyedari bahawa perpaduan dan persaudaraan itu lebih diutamakan dari perpecahan.

Banyak lagi perkara-perkara penting yang harus diterapkan dalam perbincangan serta perdebatan untuk meraih kebenaran. Apa yang disebutkan hanyalah beberapa perkara penting yang harus ditekankan. Perhatikanlah kata-kata Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai perkara ini: "Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jamaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin. Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setanding dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan. Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah" (as-Sahwah al-Islamiyyah 27)

Perbahasan di kalangan bijak pandai agama haruslah diteruskan dan disuburkan agar ianya dapat menjana generasi yang lebih peka dan lebih terbuka mindanya. Akan tetapi jika perbahasan yang berlaku tidak didasari oleh rasa ikhlas dan menjauhkan dari sifat ta'assub, maka dari perbahasan tersebut akan lahirlah perbalahan. Adab-adab dalam berbeza pendapat harus diterapkan di dalam diri kita agar perbahasan dan perbezaan yang berlaku dikalangan umat Islam menjadi satu rahmat bagi kita dan bukannya satu bencana yang melanda. Wallahu A'lam

__________________________________________
Rujukan
:

- Raf'ul Malam an Aimmatil A'lam Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Maktabul Islami.
- Al-Khilaf bainal Ulama' Asbaabuhu wa Mauqifuna Minhu, Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen, http://www.ibnothaimeen.com
- Jaami' Bayaanil Ilm, Abu Naim al-Asbahani Matbaah as-Saadah.
- Sunan ad-Daarimi, Abdullah bin Abdur Rahman, Dar ibn Hazm.
- Majmu' al-Fataawa Islam Ibn Taimiyyah Maktabah al-Obaikan
- Fathul Barr fi at-Tartib al-Fiqhi li Tamhid Ibn Abdil Barr, Muhammad al-Maqrawi, Majmu' at-Tuhaf an-Nafais ad-Dauliah
- As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, Dar al-Kutubul al-Ilmiah
- Fikhul Khilaf Dr Awadh bin Mohd Al-Qarni, Dar al-Andalus al-Khadra'
- Adabul Ikhtilaf, Said bin Abd al-Qadir,
- al-I'tisom, Ibrahim bin Musa, Maktabah at-Tauhid
- As-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al- Mazmum, Yusuf al-Qardhawi, Dar al-Sahwah

Jom Jalankan Usrah!

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah yang maha pemurah lagi maha pemberi rahmat, segala puji bagi Allah yang bersifat adil kepada semua hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, ahli bait Baginda dan para pengikut Baginda.

Kedatangan bulan Ramadan yang mulia menyerikan senario tarbiyah bagi kita selaku umat islam lebih-lebih lagi buat golongan mahasiswa Islam yang menjadi tunjang harapan ummah akan datang. Sesuai dengan nama program ihya’ Ramadan kali ini iaitu “Syahru Tarbawi” atau bulan tarbiyah, maka ia menandakan bulan ini menjadi universiti untuk mendidik rohani mahupun jasmani setiap individu.

Di samping melakukan ibadah kepada Allah Ta`ala, janganlah kita mengambil enteng perjalanan usrah atau Muzakarah Berkelompok (MB) yang tidak kurang pentingnya dalam institusi pentarbiyahan. Tarbiyah melalui usrah amat berbeza dengan cara-cara yang lain kerana usrah mampu melahirkan insan yang mempunyai nilai tambah sebagai persediaan buat masa akan datang.

Oleh itu, saya yang diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Fasilitator KPT Mesir dengan berbesar hati menyeru semua fasilitator untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka bagi menggerakkan perjalanan usrah masing-masing bermula 5 Ramadan 1432H bersamaan 5 Ogos 2011M berdasarkan manhaj yang telah ditetapkan.

Semoga usrah yang dijalankan akan menambahkan amalan kebajikan kita di bulan Ramadan dan juga mendekatkan diri kita kepada Allah dengan tautan ukhuwwah antara sesama ahli usrah. Siiru ‘ala barakatillah, wassalam.

“Usrah Tunjang Tarbiyah”

MOHD SYAMSHUL BIN HAJI SIDIK
Ketua Jabatan Fasilitator,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -