Archive for December 2011

Politik,Mahasiswa dan Modus Operandi Pemerintah


"Mahasiswa dan politik merupakan dua entiti yang tidak dapat dipisahkan. Tapi itu dulu. Mahasiswa sanggup berada dibarisan hadapan apa sahaja isu berkaitan sosial amnya, opresif dan ketidakeadilan terhadap masyarakat oleh sang penguasa yang rakus.

Lama-kelamaan, mahasiswa dan politik cuba dipisahkan. Ia cuba dipisahkan oleh golongan-golongan fasis yang ingin mengekalkan kuasa mahupun golongan konservatif yang takut akan perubahan dan sering berada di zon selesa.

Hak mahasiswa untuk berpolitik dihadkan melalui akta-akta drakonian yang diluluskan oleh ahli-ahli parlimen yang berkiblatkan budaya fasisme. Sejak akta-akta drakonian ini mencengkam institusi pengajian tinggi, gerakan mahasiswa mula hilang taring.

Mahasiswa dibonzaikan pemikiran mereka. Politik itu seolah-olah bukan sebahagian daripada mahasiswa. Mereka menjadi takut untuk berbicara soal politik, perubahan dan rakyat di dalam mahupun di luar kampus.

Modus Operandinya sangat mudah:-

Pertama sekali, mahasiswa dimomokkan dengan akta-akta drakonian kononnya pelajaran dan masa hadapan akan terjejas jika melakukan sesuatu aktiviti mahupun perkara yang bertentangan dengan idealisme sang pemerintah. Sebagai contoh, menjanjikan ‘imbuhan’ berbentuk hukuman.

Kedua, ‘budaya syukur’ ditanam kedalam jiwa mahasiswa. Mahasiswa diajar untuk bersyukur dan membalas jasa dan budi sang penguasa dari semua aspek. Jika ingkar, bahananya mahasiswa akan dilabel sebagai derhaka dan petualang bangsa kerana tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan dari aspek pendidikan.

Ketiga, sang penguasa akan merekayasa satu entiti dijadikan sebagai musuh. Ia kononnya bertujuan menyatupadukan mahasiswa melawan entiti tersebut. Sebagai contoh mengunakan perkataan-perkataan berikut ketika berhujah atau menyebarkan propaganda:- “anasir luar”, “agen asing yang cuba memecah-belahkan”, “agenda pembangkang” dan sebagainya.

Keempat, mereka akan cuba mendoktrinasi minda mahasiswa dengan mengatakan bahawa pelajaran itu penting dan ia merupakan amanah kedua ibubapa. Di sini mereka cuba mengambarkan bahawa jika mahasiswa bergelumang dengan politik, pembelajaran mereka akan terjejas. Sejajar dengan pandangan Mahathir mengenai AUKU.

Tidak mengapa, mahasiswa masih mempunyai peluang untuk beraksi di pentas demokrasi semula dibawah program transformasi kepimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Kerajaan menjanjikan untuk membenarkan mahasiswa berpolitik. Adakah ia sekadar kosmetik atau retorik pilihanraya yang kian tiba? Ataupun sudah masanya untuk merehatkan parti tua ini dari landskap politik Malaysia?

Tepuk dada tanya selera.


sumber asal :
http://bangsarakyat.blogspot.com/

"Henti Penghantaran ke Mesir Satu Penilaian"


Bismilllahirrahmanirrahim,

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam,yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup manusia agar mereka tidak lari dari landasan yang sebenar selaku hamba Sang Pencipta di atas muka bumi ini, agar manusia tidak lupa dan bangga diri serta tidak melakukan kefasadan di dunia yang sementara ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar ,Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat dan para pengikut  sehingga hari pembalasan.



Terkedu dan terguris jiwa saya  sebagai  antara pelajar Terengganu di  Universiti Al-Azhar Asy-Syarif,Mesir apabila tempat belajar saya dikatakan “ketinggalan zaman” oleh Ketua Pegawai  Eksekutif Majlis Agama dan Adat istiadat Melayu(MAIDAM), Wan Harujan Sulaiman sebagaimana yang dipetik dalam keratan akhbar sinar harian semalam yang bertarikh 25 Disember 2011(Ahad).

Dalam kenyataannya yang bertajuk “henti hantar pelajar ke Mesir”, antara alasan untuk tidak menghantar pelajar-pelajar ke Mesir adalah :

1-      Sistem pengajian yang ketinggalan
2-      Mengikut langkah Yayasan Terengganu
3-      Fokus untuk hantar pelajar ke Jordan
4-      Dasar kerajaan dan MAIDAM perlu patuhi
5-      Pelajar terlibat dengan aktiviti yang merugikan kerajaan
6-      Keadaan keselamatan yang tidak terjamin

SISTEM PENGAJIAN YANG KETINGGALAN

Ya,tidak dinafikan bahawa Universiti Al-Azhar masih terkebelakang dari sudut infrastruktur,TAPI  bukan dari sudut pengajian. Dengan menggunakan sistem pemfailan yang manual,tidak bermakna Univ. Al-Azhar ketinggalan dalam sudut pengajian. Ulama’-ulama’ Al-Azhar sentiasa mendepani Isu-isu semasa dan juga Isu-isu sejagat yang berlaku disekitar. Contoh  yang paling dekat ialah perhimpunan yang di adakan di Masjid Al-Azhar bagi menyelamatkan Al-Azhar dan juga pemerkasaan ‘Wathiqah Al-Azhar’ sebagaimana yang dibentangkan oleh syeikhul Azhar,Syeikh Ahmad Toyyib di Al-Azhar Conference Center(ACC) baru-baru ini menunjukkan Masyayeikh Al-Azhar sentiasa memastikan keluarannya berkualiti dan dipercayai oleh semua lapisan masyarakat.

Sistem Pengajian Al-Azhar adalah yang amat unik kerana menggunakan dua institusi iaitu jami’ah(universiti) dan jaami’(masjid) dalam usahanya melahirkan Ulama’ Al-Amilin(Ulama’ Yang Bekerja) dalam masyarakat dan bukan hanya melahirkan mahasiswa/wi yang cemerlang di atas sijil sahaja. Buktinya, selepas berlakunya revolusi 25 Januari tempoh lalu,percambahan dan meriahnya kelas di Masjid Al-Azhar merupakan kembalinya usaha untuk menjadikan Al-Azhar gemilang di persada dunia.

Selain itu, pengajian di Univ. juga melatih mahasiswa dan mahasiswinya dalam mendepani masalah-masalah kontemporari seperti wujudnya subjek ‘qodoya mu’asarah’  yang berkaitan soal hukum hakam semasa yang berlaku dalam masyarakat. Dan untuk pengetahuan semua,matapelajaran ini sentiasa dikemaskini sekiranya ada permasaalahan baru yang muncul dalam dunia moden ini, nah,terbuktilah bahawa Univ. Al-Azhar tidak ketinggalan dalam pengajiannya sebagaimana yang di tohmah.

(gambar kanan : para syeikh yang mengajar di masjid Al-Azhar setiap hari dalam seminggu)

Oleh itu,sahlah tohmahan yang mengatakan Al-Azhar tidak sesuai untuk menjadi tempat belajar kerana ketinggalan adalah tuduhan dan tohmahan yang ‘atas angin’ semata-mata.


PELAJAR TERLIBAT DENGAN PERKARA YANG MERUGIKAN KERAJAAN

Berkenaan perkara ini,saya merasakan alasan yang umum ini perlu kepada penjelasan yang khusus daripada MAIDAM. Apakah ‘perkara’ yang dikatakan merugikan kerajaan?

Yang saya Nampak,perkara yang merugikan kerajaan ialah boleh jadi ramai lepasan yang belajar di Al-Azhar apabila balik ke tanah air,tidak terlibat dalam institusi kerajaan dan berada di pihak politik pembangkang. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan perkara yang dikatakan merugikan kerajaan.

Untuk pengetahuan semua,kami di sini dinaungi oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) dan Education Malaysia(EM) secara amnya dan di bawahnya terdapat Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir(KPT) yang mana persatuan ini sentiasa memastikan yang terbaik buat ahli-ahlinya. Baik dari sudut keilmuan mahupun nilai tambah dalam ilmu berorganisasi.

Sebagai contoh, dalam memastikan ahli-ahli KPT sentiasa cemerlang dalam peperiksaan, KPT Mesir di bawah seliaan Biro Akademik telah mengadakan Misi Mumtaz Imtihan(motivasi) yang menampilkan doktor Muhamad Hameda selaku pensyarah Maahad Bahasa Arab Univ. Al-Azhar.

Adakah terlibat dengan persatuan sebagai nilai tambah kepada kami dalam sudut berorganisasi yang mana ilmu ini tidak didapati di kuliah-kuliah dan perlu kepada praktikal dikatakan merugikan kerajaan?



Saya melihat ini merupakan satu bonus kepada kerajaan bilamana golongan ini balik kelak,mereka sudah terdedah dengan ilmu-ilmu asas berorganisasi, baik protokol majlis,mengendalikan mesyuarat,dan lain-lain lagi.   

Sekiranya perkara sebegini dipandang serong, amat tidak adillah pihak kerajaan dalam melayani anak-anak bangsanya di luar Negara khususnya Mesir sedangkan di tempat-tempat lain dilambung-lambung.

TELITILAH DENGAN BAIK DAN BUATLAH KEPUTUSAN

Saya berharap kepada pihak-pihak yang terbabit agar perkara ini perlu diperhalusi lagi agar ulama’-ulama’ amilin bermanhaj Al-Azhar dari Terengganu tidak disekat dan diteruskan penghantarannya kerana bimbang kalau-kalau kurangnya ulama’ menyebabkan masyarakat menjadi jahil serta jauhnya dari Rahmat Allah taala. Biarlah negeri kita ramai dengan ulama’ kerana tiada ruginya memiliki mereka,tapi kalau tiadanya ulama’,maka alangkan rugi dan bodohnya kita.

Semoga perkara ini tidak dipandang remeh oleh semua orang kerana sekirany kita benci alim ulam’,samalah kita benci pewaris-pewaris Nabi.

" العلماء ورثة الأنبياء"
“ulama’ adalah pewaris Nabi”

Justeru,buatlah keputusan yang terbaik dengan mangambil kira segenap aspek dan bukan dengan pandangan keuntungan politik semata-mata.wallahua’lam

Politik Islam Ada Feqahnya

Dalam menghadapi isu-isu dan permasalahan yang sedang membarah sekarang,marilah kita sama-sama meneliti kalam daripada Tuan Presiden sebagai pedoman dan peringatan bagi kita sama ada khusus untuk seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya.
 ****************************************************
Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam.
Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.


Khadam Perjuangan Islam
PRESIDEN PAS

sumber :blog Presiden

Pentingnya Berorganisasi Dalam Islam


Sepertimana yang kita ketahui, pada akhir-akhir ini Umat Islam sering dikaitkan dengan pelbagai pengkhabaran yang negatif  seperti kemunduran,keganasan dan lain-lain lagi.

Sebagai seorang  yang menganut agama Islam dan  hidup sebagai seorang muslim tidak dapat tidak kita seharusnya bersedia memberikan sumbangan untuk kemajuan  Islam. Hal ini juga disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sepertimana sabda beliau yang bermaksud :

Siapa yang menyebut tiada tuhan melainkan Allah (penyaksian Syahadah) maka dia adalah Daie’ (pendakwah)”.

Melalui sabda beliau ini menunjukkan bahawa setiap umat Islam itu adalah seorang penyampai risalah Islam.



Maka salah satu daripada cara untuk kita memberikan sumbangan kepada umat Islam khususnya dan kepada agama Islam amnya adalah dangan melibatkan diri kita dengan organisasi Islam yang mana tujuan penubuhan mereka adalah untuk membangunkan  kemajuan Islam dalam segenap aspek dan juga ummah Islam itu sendiri.

 Penglibatan kita dalam organisasi Islam ini juga seiring dengan firman Allah S.W.T didalam surah Al-Maidah ayat ke-2 yang bermaksud :

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mangerjakan kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong menolong dalam membuat dosa dan permusuhan” .

Bilamana kita melibatkan diri kita dengan organisasi islam ini kita dapat saling kenal mengenali antara satu sama lain secara lebih akrab, dengan itu jalinan ukhwah yang terjalin akan menjadi lebih utuh dan sacara tidak langsung perkara ini membantu menguatkan Agama Islam itu sendiri kerana bak kata perpatah melayu “ Bersatu teguh, bercerai roboh” begitulah jua keadaan Islam jika kita bersatu. Malah Allah S.W.Tjuga berfirman didalam Al-quran pada surah Ali Imran ayat 103 yg bermaksud :

Berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama)Allah, dan janganlah kamu bercerai berai”.

Ini menunjukkan Allah S.W.T menyuruh kepada semua bukan hanya sebahagian dari umat Islam sahaja.

Bilamana kita dapat bersatu di dalam sebuah organisasi, segala gerak kerja untuk membangunkan Islam akan dapat dilaksana dengan mudah seperti bak kata pepatah melayu “yang berat sama dijunjung yang ringan sama dijinjing”. Malah kita juga dapat bergerak dengan lebih cepat serta dapat memperluaskan skop gerak kerja Islam.

Selain itu juga, dengan melibakatkan diri kita dangan organisasi Islam kita berpeluang membantu saudara seagama kita yang menderita ditindas seperti di Somalia, Palestin dan di negara-negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap umat Islam. Hal ini seiring dengan  sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap orang mukmin itu bersaudara”.

Malah untuk menggambarkan betapa pentingnya persaudaraan didalam Islam itu, Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

“Tidak sempurna iman seseorang itu hingga dia mengasihi saudaranya (saudara sesama Muslim), sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”(hadis riwayat al-Bukhari).

Dengan itu kita dapat menyumbang samada melalui kewangan, khidmat perubatan, bekalan makanan dan sebagainya.

Dengan melibatkan diri kita dengan organisasi Islam kita dapat membantu manyumbangkan buah fikiran dalam sesebuah tindakan untuk membangunkan sebuah sistem kemasyarakatan yang berlandaskan Al-quran dan As-sunnsah. Yang mana ianya merupakan langkah pertama kapada terbentuknya sebuah negara Islam yang mempunyai rakyat yang berlandskapkan kehidupan Islam yang sebenarnya dangan pelaksanaan sistem perundangan Islam yang barteraskan panduan Al-Quran dan As-Sunnah secara menyeluruh. Dengan ini, secara tidak lansung wujudlah modal insan ummat Islam yang benar-benar bertamadun dan berkualiti yang akan berjuang untuk agama Islam yang Allah redhai ini.

Konklusinya pelbagai perkara dapat kita sumbangkan untuk Islam dan juga umat Islam melalui penglibatan kita dengan organisasi Islam sebagai satu wasilah untuk  kita mencari redha Allah S.W.T. Oleh itu merilah kita jadikan PMRAM sebagai salah satu wadah untuk kita menyumbang kepada kemajuan Islam dengan cara berorganisasi. Sayangi PMRAM, Cintai PMRAM dan sayangilah ISLAM.
 
 
Sumber : bkan Perak Mesir

Jadilah Orang Yang Disenangi

Sesiapa sahaja tentu suka jika dirinya disukai dan
disenangi oleh rakan-rakan, keluarga, dan masyarakat
sekeliling terutamanya sebagai seorang pemimpin.
bagaimanakah kita boleh menjadikan diri kita disenangi
dan disukai oleh orang-orang disekeliling kita???mungkin
beberapa perkara ini boleh dijadikan sebagai tips atau panduan
untuk menjadikan diri kita disenangi dan disukai:

1) buangkan ego diri yang menjadi pemisah antara kemesraan dengan
orang lain.cubalah rasakan bahawa diri kita dan diri orang lain adalah sama
sahaja.cara ini memudahkan kita untuk berkomunikasi dengan baik

2) Usahakan supaya orang lain berasa dirinya penting.
keinginan menjadi orang yang penting merupakan sifat semulajadi insan dan
rangsangan yang paling berkesan pada sifat manusia.Antaranya,setiap orang mesti
menginginkan agar kata2nya dipertimbangkan dan dihargai.
setiap orang mahu dirinya dianggap penting dalam sesuatu lingkungan,walaupun
kecil dan setiap orang juga ingin mendengar penghargaan yang tulus ikhlas.


3) Jika berbuat kesalahan dengan orang lain,jadikan sikap meminta maaf sebagai amalan, sekalipun
orang yang disalahi itu anak kita sendiri;"maaf,ibu tidak sengaja"atau sebagainya...
pengamalan sebegini secara tidak langsung akan mendidik diri bersopan santun dan disenangi. Oleh
itu,lazimilah mengucapkan "maaf", "tolong", "terima kasih" dan sebagainya.

4) Anggaplah setiap orang yang kita temui memiliki sesuatu keistimewaan yang tidak ada pada diri
kita walaupun dia hanya seorang tukang sapu. Mungkin hati mereka lebih murni daripada kita yang
mungkin buruk perangai. Dengan cara ini, keegoaan kita dapat dikikis tidak kira semasa bersendirian
ataupun ketika dikhalayak ramai.

5) Jadilah seorang pendengar yang baik
Untuk memahami seseorang,kita perlu mendengar perbincangan mereka sekalipun kita tidak dapat
menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi.

semoga sedikit perkongsian ini dengan sahabat-sahabat dapat menjadikan kita semua disukai dan disenangi
oleh semua yang berada di sekeliling kita...semoga kita semua tergolong di antara hamba-hambaNYA yang
sentiasa mendapat naungan rahmat Allah.amin.sekian,wslm 

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -