Showing posts with label PMRAM. Show all posts

Cakna Isu : Jangan Cabuli Hak Mahasiswa – BKPJM





ramadhan 
 
 
 
KAHERAH, 17 Julai 2012 — PMRAM telah menerima dua aduan berkaitan hak mahasiswa melalui Borang Aduan Hak Mahasiswa berkaitan isu campak borang dan arahan mengosongkan pejabat rasmi BKPJM kelmarin.

Berkenaan isu pencabulan hak mahasiswa yang berlaku kepada saudara Muhammad Yassarudin bin Shamsul dan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir(BKPJM) ini ,pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyifatkan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan pejabat HEP Anak Johor Mesir adalah tidak wajar dan mencabuli hak mahasiswa.

Borang Aduan Hak Mahasiswa telah diserahkan oleh saudara Muhammad Yazid bin Hanzir selaku YDP BKPJM 2011/2012 dan saudara Muhammad Yassarudin bin Samsul di pejabat PMRAM pada jam 8 malam melalui Naib Presiden III, Saudara Ahmad Huzaifah Bin Fauzi, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2012.

Berkaitan Isu campak borang, saudara Yassaruddin menjelaskan bahawa beliau telah menyerahkan borang permohonan menghuni Asrama Pelajar Johor (APJ) pada 1 Julai 2012.

Pada 3 Julai 2012, saudara Yassaruddin bersama YDP dan salah seorang penasihat BKPJM saudara Miftahul Ulum telah bertemu dengan pengurus Asrama Pelajar Johor Mesir, Tuan Hj Maulan Asmoni bagi mendapat penjelasan berkenaan isu tersebut. Namun malang tak diduga apabila mereka dihalau dari pejabat Pegawai Pengurus Asrama Rumah Johor.

Pada hari yang sama, pihak pengurusan rumah Johor telah mengeluarkan surat arahan supaya Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) mengosongkan Pejabat Rasmi BKPJM dengan alasan penambahan staf HEP.

Badan kebajikan pelajar Johor Mesir (BKPJM) diberi tempoh sehingga 15 julai 2012 untuk mengosongkan pejabat tersebut. Pihak BKPJM telah menjawab balas surat tersebut dengan bertegas bahawa mereka tidak akan keluar daripada pejabat tersebut. Dan pada 12 Julai 2012, sekali lagi BKPJM menerima surat daripada pihak pengurusan asrama yang bertarikh 10 julai 2012 mengatakan bahawa arahan tersebut adalah muktamad.

“PMRAM akan mengkaji isu ini melalui laporan yang telah diserahkan dan akan menyusun tindakan susulan mengikut situasi dan keadaan. PMRAM menegaskan sekali lagi bahawa isu ini juga berkait dengan salah satu usul PMRAM yang telah disepakati dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali-79, ‘Memperkasakan Slogan KITA PMRAM’ dengan beberapa tindakan, antaranya mempertahankan hak mahasiswa”, ujar Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi selaku Naib Presiden III PMRAM 2012.

Hindari Politik Fitnah Dan Maki Hamun

Bacalah dengan hati yang terbuka dan penuh insaf...nasihat daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) kepada para politikus di tanah air sekalian..sama-sama muhasabah diri..

*********************************
Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu politik yang membabitkan adegan dan peristiwa yang sungguh memalukan negara. Belum reda isu yang berkaitan dengan paparan laporan lucah di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei yang lalu, timbul pula isu melibatkan tuduhan sebagai 'Bapa Kafir' kepada seorang tokoh agama yang tersohor di negeri Kelantan. Bahkan tohmahan tersebut ditujukan kepada seorang pemimpin yang disanjungi oleh rakyatnya.
 
Melihat kepada sikap kurang matang segelintir golongan cerdik pandai rakyat negara kita ini, PMRAM merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian dan pandangan selaku gerakan mahasiswa Islam yang sentiasa memerhati perkembangan dan situasi terkini negara Malaysia. Tuduhan tersebut telah dilemparkan oleh mantan Ketua Polis NegaraTan Sri Rahim Noor terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'bapa kafir' menurut sumber (gambar). 
 
 
Bagaimanpun Tan Sri Rahim Noor menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian. Pemberita yang namanya tersiar sebagai salah seorang penulis berita itu, Rahmah Ghazali juga menafikan beliau  menulis berita itu.
 
Walau daripada siapa sekalipun tuduhan ini datang, ia tidak sepatutnya terjadi bahkan ahkbar New Strait Times perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang ingin dipaparkan agar tidak menimbulkan fitnah dan kebencian oleh rakyat. Akhbar New Strait Times telah kerap kali mengguris hati umat Islam dan kesilapan ini tidak sepatutnya berulang.
 
Tuduhan tersebut telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan persepsi negatif serta meningkatkan lagi api kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak terbabit. Islam mengajar Umatnya agar sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila di sana terdapat perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan Umat Islam. Islam tidak mengajar Umatnya bertindak diluar daripada apa yang telah digariskan oleh syarak sama ada dari segi perbuatan mahupun perkataan.
 
Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat ke-148 yang bermaksud :
" Allah tidak menyukai akan perkataan buruk (yang di ucapakan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
 
Justeru, sebagai seorang muslim kita seharusnya berwaspada daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan boleh menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi kalimah yang dikeluarkan itu ditujukan kepada golongan Ulama ataupun mereka yang hampir kepada Allah SWT. Bukan itu saja, bahkan tidak salah sekiranya saya menyatakan bahawa isu mengkafirkan orang ini adalah melibatkan isu akidah dan pegangan kita terhadap agama Islam. Kita sebagai hamba Allah SWT tidak layak untuk menentukan seseorang itu adalah kafir di pandangan mata kasar kita sekalipun kita melihat mereka itu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
 
PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli politik tanah air  bersedia untuk berdebat dan berdialog secara matang dengan hujah dan fakta bukannya menfitnah dan memaki hamun orang lain apabila tidak sehaluan dan tidak sependapat. Islam telah meletakkan garis panduan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang membabitkan pelbagai pandangan.
 
Begitu juga dengan pihak media dinasihatkan jangan sesekali mengeluarkan berita tanpa diketahui asal-usulnya. Jadilah media yang adil dan matang dalam melaporkan sesuatu isu, bukan memanaskan lagi semarak kebencian rakyat dan mendatangkan fitnah yang menambah celaru.
 
Kami sebagai golongan anak muda mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra dalam menyelesaikan sesuatu konflik dan masalah bukannya menggunakan politik maki hamun, fitnah, politik lucah dan sebagainya yang boleh mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaaan dan suasana harmoni kehidupan rakyat Malaysia.
 
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
 
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012
 
******************************
 

Permata : Islam itu Indah...:)

Utusan Malaysia Perlu Bertindak Matang

Akhbar adalah teman setia bagi golongan marahen dalam sesebuah negara. Ianya sebuah jambatan dalam menyebarkan segala isu yang sedang melanda. 

Justeru akhbar perlu dikemudikan dengan sebaik-baiknya agar ianya bukan bersifat tangkap muat, fitnah, penghasutan dan provokasi yang boleh mencetuskan suasana huru-hara dalam negara.

Melihat kepada paparan utama akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei 2012, PMRAM amat kesal dengan paparan tersebut yang jelas mencerminkan integriti yang rendah bagi sebuah akhbar yang menjadi nadi penyebar maklumat kepada rakyat, lebih-lebih lagi Utusan Malaysia tersenarai di kedudukan tangga yang ke-32 dalam senarai The top 500 sites in Malaysia yang dikeluarkan oleh Alexa, The Global Leader in Analytics ( tarikh 2 mei 2012).

Justeru sebagai sebuah akhbar yang menjadi rujukan umum, Utusan Malaysia sewajarnya memainkan peranan yang terbaik dan bersikap matang dalam menyaring berita sebelum disebarkan kepada masyarakat. Peranan akhbar bukanlah semat-mata untuk menyebarkan maklumat bahkan maklumat yang dipaparkan dan disebarkan itu mestilah jelas, benar dan tepat faktanya.

Tindakan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan laporan dan berita berunsurkan lucah ini perlu dilihat sebagai suatu perkara yang besar lebih-lebih lagi ini bukanlah kali pertama paparan seperti ini disiarkan oleh Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi kepada kerajaan Malaysia. Berita yang dipaparkan itu jelas mengaibkan imej peribadi individu tertentu tanpa asas yang kukuh. Bukan itu saja, bahkan ianya juga menambahkan lagi suasana dan polemik yang kurang enak dalam masyarakat Malaysia sejak mutakhir ini .

Pelbagai tohmahan yang mula timbul sudah pasti menambah buruk imej Utusan Malaysia sekaligus mencemarkan lagi kualiti kerja yang di amanahkan oleh kerajaan Malaysia. PMRAM mengharapkan agar setiap isu yang ingin dipaparkan oleh mana-mana akhbar termasuk Utusan Malaysia diteliti dan dikaji terlebih dahulu sebelum penerbitan dilakukan. Apatah lagi seandainya isu tersebut melibatkan aib dan maruah diri seseorang yang boleh mengundang pelbagai fitnah dan persepsi masyarakat.

Peranan akhbar adalah menjelaskan isu yang melanda, mengukuhkan perpaduan bangsa, dan mengharmonikan suasana negara, bukan mengotorkan lagi nilai murni pemikiran anak bangsa.

Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012.

sumber : PMRAM

Pelaksanaan PTPTN Wajar Dikaji Semula

Sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan semenjak tahun 1997 tidak dinafikan merupakan satu usaha yang baik untuk membantu meringankan bebanan kewangan mahasiswa yang tidak berkemampuan tetapi memiliki kelayakan untuk menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.
 
Namun hari ini, pelaksanaan sistem pinjaman PTPTN ini mendapat kritikan dan kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang melihat kaedah yang diguna pakai dalam  sistem pinjaman PTPTN ini sebenarnya  adalah bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata dengan dengan alasan kewujudan PTPTN ini adalah untuk membantu mahasiswa. Ini kerana setiap peminjam PTPTN ini perlu membayar pinjaman mereka beserta dengan kadar faedah yang telah ditetapkan. Bahkan kadar faedah ini akan meningkat dari tahun ke tahun sekiranya peminjam gagal untuk menjelaskan atau melunaskan pinjaman mereka dalam tempoh tertentu.
 
Hasil daripada sistem pinjaman yang tidak mesra pelanggan ini menyebabkan pelbagai bentuk demonstrasi dan tunjuk perasaan diadakan oleh kelompok mahasiswa sejak kebelakangan ini sebagai langkah memprotes  perlaksanaan sistem pinjaman PTPTN yang ternyata membebankan mahasiswa. Ini kerana disebalik kemudahan pinjaman wang yang diberikan kepada mahasiswa, hakikatnya mereka sebenarnya terpaksa menanggung bebanan hutang yang berlipat kali ganda hasil daripada pinjaman tersebut yang terpaksa dibayar selepas tamat pengajian di institusi pangajian tinggi masing-masing.
 
PMRAM melihat isu ini sebagai suatu perkara yang tidak boleh dipandang sinis oleh pihak pentadbiran negara, pihak kerajaan khususnya perlu meneliti dan menilai semula kaedah perlaksanaan pinjaman PTPTN ini agar ianya selari dengan tuntutan syarak. Tindakan mengenakan faedah bagi setiap peminjam PTPTN ini bukan sahaja membebankan mahasiswa bahkan sistem ini sama sekali bercanggah dengan syariat agama Islam kerana terdapat unsur-unsur riba di dalamnya yang jelas diharamkan oleh Islam.
 
Bahkan lebih baik lagi jika sistem pinjaman PTPTN ini diteruskan untuk memberi khidmat kepada mahasiswa dengan melakukan perubahan terhadap pelaksanaannya tanpa dikenakan sebarang faedah kepada peminjam. Perkara ini boleh dilakukan sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) yang tidak mengenakan sebarang faedah kepada peminjam dan pinjaman tersebut bertujuan kebajikan semata-mata.
 
Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia seharusnya bebas daripada tindakan-tindakan dan sistem-sistem yang bertentangan dengan tuntutan agama Islam. PMRAM sebagai sebuah persatuan yang mendokong prinsip al-Quran dan as-Sunnah ini, mengharapkan agar tindakan segera di ambil oleh pihak kerajaan di bawah pentadbiran YB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak dalam menyelesaikan isu ini.
 
PMRAM akan sentiasa menyokong dan bersama-sama dengan gerakan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan dan pendapat mereka berhubung isu-isu hak dan mahasiswa demi kebaikan bersama.
 
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012.
 
Sumber : PMRAM

Tahniah Dan Takziah buat Pimpinan baru PMRAM

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah, muktamar sanawi(mesyuarat agung tahunan) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) telah dilabuhkan tirainya bagi sesi 2011, bermulalah era kepimpinan baru badan pengurus PMRAM di bawah pengemudi baru iaitulah saudara Abdul Aziz Bin Ali. Sememangnya, apabila bertukarnya tampuk kepimpinan,maka corak pembawakan adalah berbeza, berdasarkan tema baru pada tahun ini iaitu MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN “ jelas menunjukkan bahawa PMRAM sentiasa menginginkan ahli-ahlinya cemerlang bukan sahaja dari sudut pendidikan,bahkan dari sudut akademik. PMRAM juga tidak mengabaikan kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri dari pelbagai generasi.

kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada badan pengurus PMRAM sesi 2011 yang dikemudi oleh saudara zuhaili bin saiman yang telah banyak berkorban demi menguruskan pentadbiran PMRAM. Semoga Allah taala membalas jasa kalian dengan SyurgaNYA..aamin.

TAHNIAH,SYABAS dan TAKZIAH kepada badan pengurus yang baru dilantik :

  1. ABDUL AZIZ BIN ALI(PRESIDEN)
  2. ABDUL HADI BIN JUSOH
  3. AHMAD BIN JA'FAR
  4. AHMAD QUTAIBAH BIN MOHAMED
  5. ABDUL NAAFIQ TAQIUDDIN BI MOHD ROSLAN
  6. MUHAMMAD AL-AMIN BIN HJ SALLEH
  7. MOHAMMAD BIN MOHAMAD ZIN
  8. MUHAMMAD SYAZWAN BIN HAMZAH
  9. SUBKI BIN ZAKARIA
  10. MUHAMMAD ZUHAIRI BIN ZAINAL ABIDIN
  11. NUR AHMAD WAFIY BIN NOR AZRI [kekal]
  12. NORHALIS SYAFIQ [kekal]
  13. AHMAD BAIHAKI BIN RASHID [kekal]
  14. AHMAD HUZAIFAH BIN FAUZI [kekal]
  15. ZULHAFEEZ BIN AHMAD ZAHIDI [kekal] 
 Tidak lupa kepada seluruh pimpinan HEWI PMRAM yang baru dilantik...

Semoga Allah taala memimpin dan memandu gerak kerja kalian serta memudahkan dan memberi pertolongan dalam segala perkara...aamin.:)

UCAPAN PRESIDEN PMRAM BARU :

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat dan para sahabat baginda, seterusnya seluruh pejuang agama Islam yang bertebaran di atas muka bumi yang sentiasa bekerja menyebarkan risalah Islam demi memastikan agama Islam terus mekar dalam sanubari manusia.

Perjuangan PMRAM sebagai NGO yang berdaftar dan persatuan induk mahasiswa Malaysia di bumi Mesir diteruskan dalam memastikan agenda kebajikan dapat disampaikan kepada seluruh ahli. Putaran kehidupan dunia tidak pernah terhenti. Ada ketikanya kita berada di atas dan ada ketikanya kita berada di bawah. Begitu juga dalam konteks kepimpinan, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.
Para mahasiswa Islam yang dikasihi sekalian,

Tanggal 14 Mac 2012 menyaksikan tampuk pentadbiran PMRAM bertukar ganti. Inilah sunnatullah yang telah ditetapkan dalam sesuatu organisasi.
Perjuangan membawa risalah Islam sentiasa diperbaharui dan pembawa obor perjuangan akan silih bertukar. Kehebatan PMRAM pada hari ini yang masih gagah bertapak di bumi anbia’ ini adalah disebabkan oleh kekuatan kesatuan yang ada pada seluruh ahli PMRAM ditambah pula dengan kesungguhan para pimpinan di seluruh cawangan yang bernaung di bawah PMRAM yang terdiri daripada 12 buah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 buah Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang sentiasa memberi komitmen terbaik dan selari dengan kehendak di peringkat PMRAM pusat.
Tahun 2012 genap usia PMRAM 82 tahun. Pada tahun ini menyingkap kembali sejarah suka duka PMRAM dalam arena perjuangan mahasiswa Islam Mesir. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-2o penubuhan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) bererti selama 20 tahun ini jugalah kebajikan seluruh ahli-ahli PMRAM di Muhafazah dijaga dengan baik.

Penganjuran konvensyen PMRAM kali ke-4 pada 29 Februari yang lalu menunjukkan PMRAM begitu optimis dalam meneruskan dan memperkasakan usaha penghantaran mahasiswa baru ke cawangan-cawangan al-Azhar di seluruh Muhafazah.


Para pemuda dan pemudi idaman Ummah sekalian,
Sedar ataupun tidak, tahun ini jugalah genap 20 tahun PMRAM dihalau daripada rumahnya sendiri iaitu Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA). Suatu sejarah hitam yang sentiasa segar dalam memori ingatan pendokong-pendokong PMRAM dan akan terus diwarisi kepada generasi mendatang.
Tanggal 16 Mac 1992 menjadi tarikh keramat dan sentiasa diingati dalam sejarah PMRAM apabila pihak PMRAM telah menerima sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia meminta supaya PMRAM keluar daripada ARMA. Hal ini berpunca daripada pendirian PMRAM yang tidak bersetuju di atas penubuhan persatuan baru iaitu Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) pada tahun 1992 untuk menggantikan PMRAM yang dikatakan tidak mampu menyatukan suara anak-anak Melayu yang belajar di Mesir pada waktu itu.
Hasilnya seluruh mahasiswa bangkit menyatakan pendirian mereka yang sesekali tidak bersetuju dalam perkara tersebut yang dilihat boleh menimbulkan perpecahan dikalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.
Ini antara sebahagian kisah duka yang dihadapi oleh PMRAM. Selain daripada itu PMRAM pada sesi 2011tidak ketinggalan berhadapan dengan ujian yang cukup besar apabila ada usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengharamkan dan melenyapkan PMRAM daripada muka bumi Mesir ini.
Begitu juga isu yang berlaku sekitar cawangan-cawangan PMRAM antaranya penarikan pengiktirafan PMRAM Cawangan Melaka (BKKIMM) oleh Kerajaan negeri Melaka, isu penafian hak terhadap PMRAM Cawangan Johor (BKPJM) dan isu penarikan pinjaman 9 orang mahasiswa PMRAM Cawangan Terengganu (KPT) yang melibatkan 7 orang mahasiswa Pengajian Islam dan 2 orang mahasiswa Pengajian Sains Kesihatan.

Kesemua isu yang disebut ini melibatkan hak dan maruah yang perlu dipertahankan oleh seluruh mahasiswa Islam sama ada pengajian Islam mahupun sains kesihatan.
Para mahasiswa Islam sekalian,
Bertemakan ” Memartabat keilmuan, Memimpin Kesatuan ” Pentadbiran PMRAM sesi 2012 akan terus memacu momentum seluruh mahasiswa ke arah kecemerlangan dari sudut keilmuan dan juga akademik disamping tidak meninggalkan gerak kerja terhadap pembentukan fikrah dan syakshiah yang baik. Selain itu, kebersamaan dan kesatuan di kalangan ahli PMRAM seluruh cawangan BKAN dan DPM akan terus diperkasakan dengan tindakan-tindakan yang akan disusun dan diselaraskan selepas daripada ini demi memastikan perjuangan PMRAM sebagai persatuan induk mahasiswa Malaysia di Mesir dapat dilaksanakan dengan sehabis baik.
Tiga usul yang telah diperbahaskan dan diterima sebulat suara oleh seluruh perwakilan pada Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-79 iaitu :

1. Mengembalikan Hak PMRAM di ARMA
2. Memperkasa hubungan baik antara mahasiswa Pengajian Islam dan Sains Kesihatan dengan tindakan ;
- Kempen di seluruh cawangan
- Perkongsian idea
3. Bersama menjayakan slogan ” Kita PMRAM ” dengan tindakan :
- Mempertahankan hak mahasiswa Islam
- Memperkasakan kesatuan di seluruh peringkat.
Kesemua usul yang disenaraikan ini merupakan perkara yang amat besar dan memerlukan kerjasama yang baik daripada semua pihak untuk sama-sama menjayakannya.

Kitalah yang bertanggungjawab,
Justeru, PMRAM menyeru semua mahasiswa/wi Islam untuk bersama-sama dengan PMRAM yang merupakan gerakan mahasiswa/wi Islam dalam melaksanakan semua agenda yang diperjuangkan. PMRAM bukanlah milik Badan Pengurus dan HEWI PMRAM, akan tetapi PMRAM adalah amanah ke atas semua mahasiswa/wi Islam yang mengakui memperjuangkan Islam.

Bangkit wahai generasi berintegriti!
Laksanakan tugas dan jalankan amanah bersama. Akhir bicara, pastikan tiga usul yang telah disepakati bersama dalam muktamar yang lalu digerakkan oleh semua pihak agar perbahaskan yang telah dijalankan tidak menjadi tin kosong. Usah dilupai hak kita dan jasa mereka kerana kita adalah penyambung kesinambungan generasi terdahulu bagi melahirkan pelapis generasi hadapan untuk memperjuangkan Islam.
” MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN “

ABDUL AZIZ BIN ALI
PRESIDEN,
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR 2012.
 

Urusan Visa Pelajar : TAHNIAH PMRAM!!!

Urusan Visa: Dua Hari Untuk Mahasiswa

KAHERAH, 13 FebHasil bancian yang telah dilakukan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) baru-baru ini terhadap isu pembaharuan visa yang berlaku, PMRAM telah melakukan tindakan susulan terhadap permasalahan berkenaan.
 
PMRAM telah menghantar surat aduan berkenaan isu pembaharuan visa yang berlaku beserta hasil bancian ke peringkat kedutaan dan bertemu dengan Muqaddim Jalal, Mudir di Pejabat Imigresen Mesir yang bertempat di Madinah El-Behoos El-Islamiah, Kaherah bagi menghantar surat aduan dan berbincang dengan lebih lanjut berkaitan tindakan penyelesaian yang dicadangkan di peringkat PMRAM.
 
Dalam pertemuan hari ini sekitar jam 10.30 pagi yang diwakili oleh Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman  dan juga Naib Presiden III PMRAM, saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi bersama Mudir di Pejabat Imigresen Mesir  tersebut.
 
PMRAM telah dimaklumkan bahawa hari urusan visa bagi pelajar Malaysia telah ditambah kepada dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad berbanding sebelum ini di mana pelajar Malaysia hanya boleh membuat urusan untuk memperbaharui visa pada hari sabtu sahaja.
 
 PMRAM juga turut dimaklumkan, bagi mahasiswa dan mahasiswi yang telah mempunyai raqam atau tarikh pengesahan mereka digalakkan untuk segera ke Pejabat Imigresen bagi mendapatkan cop pengesahan visa.
 
“Peruntukkan dua hari  yang diberikan bagi mahasiswa dan mahasiswi Malaysia untuk melakukan urusan pembaharuan visa tentunya akan melegakan dan memberi keselesaan kepada seluruh Mahasiswa dan Mahasiswi untuk mendapatkan visa sekaligus dapat belajar dengan aman dan tenteram di bumi Mesir ini."
 
Selain itu, kejayaan ini juga membuktikan bahawa PMRAM sentiasa optimis untuk menjayakan agenda kebajikan untuk ahli selaras dengan subtopik dalam ucapan dasar Presiden PMRAM iaitu ‘Kebajikan Untuk Semua’, ujar saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011 ketika dihubungi selepas pertemuan tersebut.-PMRAM

Tahniah dan Syabas di ucapkan kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) di atas kecaknaan dan usaha yang keras di peringkat kalian dalam memudahkan dan menjaga kebajikan pelajar-pelajar di Mesir dalam masalah visa. Tidak dapat disangkal lagi bahawa hubungan yang baik dengan pihak Mesir menghasilkan keberjayaan dalam hasil usaha PMRAM menjuarai isu-isu kebajikan mahasiswa di bumi Mesir.

Namun,yang menjadi tanda tanya bagi saya sekarang ialah : tugas siapakah sebenarnya yang berkaitan dengan VISA ini??? Sedangkan di Mesir ini kita mempunyai Duta Malaysia Ke Kaherah..???? bukannya saya menghentam kedutaan,tapi hakikatnya saya tidak dapat melihat hasil usaha yang dilakukan oleh pihak kedutaan..sekurang-kurangnya ada bukti-bukti kecaknaan mereka terhadap golongan pelajar di sini..

Eh...lupa,sebelum ini ada bukti mereka cakna la...sebenarnya pihak mereka pernah datang 'melihat-lihat' kesusahan pelajar-pelajar yang terpaksa datang sehari lebih awal dan bermalam di luar pejabat imigresen semata-mata hendak membuat urusan visa. Mereka membeli makanan,minuman kepada pelajar-pelajar sebagaimana diceritakan seorang rakan kepada saya.mungkin inilah antara hasil usaha yang 'terdaya' mereka lakukan...wallahua'lam sejauh mana kecaknaan mereka terhadap pelajar..itu persoalan yang sentiasa bermain di benak fikiran mahasiswa/wi di bumi Mesir ini.

Saya mencadangkan agar pihak Kedutaan dan Education Malaysia di Mesir ini memuatkan berita-berita tentang aktiviti mereka yang dirasakan bersesuaian dipaparkan untuk makluman para mahasiwa di dalam portal rasmi mereka. Bukan untuk dibanggakan dan menimbulkan riak dengan tugasan yang dilakukan,tapi sebagai pencerahan kepada kami,mahasiswa/wi yang dahagakan 'belaian' dan 'keprihatinan' anda duhai pihak kedutaan...wallahua'lam..

cuba lihat di portal rasmi mereka,ada tak yang berkaitan dengan masalah visa pelajar???

Kedutaan : [KLIK SINI]
Education Malaysia [KLIK SINI]

sendiri lihat sendiri nilai...huhu..

Betapa Malunya Apabila...

Bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita. Baginda datang dengan penuh senyuman dan muka yang bersih di muka pintu kita. Apakah yang akan kita lakukan?

Semestinya kita akan sangat berbahagia memeluk baginda erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu kita. Kemudian kita tentu akan meminta dengan bersungguh-sungguh supaya baginda singgah beberapa hari di rumah kita.
Baginda tentu tetap tersenyum…

Namun mungkin kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di hadapan pintu kerana kita teringatkan VCD rated XXX yang ada di ruang tamu dan dan kita tergesa-gesa memindahkan dahulu VCD itu ke dalam.
Baginda tentu tetap tersenyum…

….Atau kita teringat lukisan wanita separuh bogel yang kita pasang di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa menyembunyikannya dengan teresa-gesa. Barangkali kita kelam-kabut memindahkan lafaz kalimah Allah dan Muhammad yang berhabuk ke ruang tamu kita ganti kepada gambar wanita separuh bogel yang telah kita susupkan.
Baginda tentu tetap tersenyum…

Bagaimana kalau Rasulullah bersetuju menginap di rumah kita? Barankali kita teringat kepada anak-anak kita yang lebih arif tentan lagu-lau barat yang melalaikan daripada selawat dan zikir. Kita tentu berasa malu memikirkan anak kita yan tidak mengetahui sirah Rasulullah kerana kelalaian kita mengajar mereka.
Baginda tentu tetap tersenyum…
……
Barangkali kita lebih malu apabila anak-anak kita tidak mengetahui walau satupun nama ahli keluarga Rasulullah tetapi lebih menghafaz nama-nama artis, penyanyi, ahli-ahli sukan dan watak-watak kartun. Barangkali kita terpaksa menukar sebuah kamar mandi menjadi satu ruang solat. Barangkali kita teringat bahawa anak gadis kita tidak mempunyai koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah.
Baginda tentu tetap tersenyum…

Belum lagi buku-buku kepunyaan kita dan anak-anak kita yang memaparkan gambar gadis yang mendedahkan tubuh jua auratnya untuk diratah oleh mata yang tidak takutkan azab Allah.
Belum lagi koleksi kaset-kaset kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke kita dan anak-anak kita. Kemana harus kita singkirkan semua ini demi menghormati Nabi akhir zaman ini…?

…….

Barangkali kita akan malu kepada baginda apabila baginda tahu bahawa kita tidak pernah pergi ke masjid meskipun azan akan tetap setia menyeru para mukmin untuk tunduk dan memperhambakan diri kepada Rabbul Alamin.
Baginda akan tetap tersenyum…

Barangkali kita akan malu kerana pada saat azan Maghrib berkumandang kita masih lagi sibuk dengan bola dan TV. Barangkali kita merasa malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh masa kita untuk mencari kesenangan duniawi. Barangkali kita akan merasa malu kerana keluara kita tidak pernah mengerjakan solat sunat. Barangkali kita merasa malu kerana keluarga kita jarang sangat membaca Al-Quran.

Bayangkan Rasulullah tiba-tiba muncul di hadapan rumah kita..Apa yang kita akan lakukan..? Masihkan kita akan memeluk junjung kita dan mempersilakan baginda untuk masuk dan menginap rumah kita…?

Atau akhirnya kita dengan berat hati terpaksa menolak kunjunan Rasulullah ke rumah kita kerana hal itu akan membuatkan kita kalut dengan rasa malu…

…………..

Maafkan kami wahai Rasulullah…
Masihkan baginda tersenyum…?
Senyuman pedih, senyuman pilu, senyuman getir….
Oh betapanya malunyahidup kita ketika itu dihadapan mata Rasulullah…
Fikirkanlah…


Disediakan Oleh :
Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan PMRAM 2011

Sumber : Persekekutuan Melayu Republik Arab Mesir

FORUM MAHASISWA 2012[" MAHASISWA : TIPIKAL vs SUPERPOWER"]

" MAHASISWA : TIPIKAL vs SUPERPOWER"

Antara Panelis Yang Diundang :
Saudara Abdul Aziz bin Ali ( Timbalan Presiden PMRAM 2011 )
Saudara Muhammad Hussin bin Fauzi ( Presiden MPPMJ 2011 )

Saudari Nurul Hasanah bte Yahuza ( Naib Pengerusi II HEWI PMRAM )
Saudari Noraziah bte Md Esa ( Ahli Majlis HEWI MPPMJ / TIMB.PENGERUSI ZON MU'TAH )

TARIKH : 29 Januari 2012
TEMPAT : Rumah Selangor
MASA : 7.30 malam ( AHAD )


" Mahasiswa Aset Pemangkin Kredibiliti Negara "


P/S : Jom para mahasiswa di bumi Mesir..sama-sama jayakan program/forum mahasiswa ini...:)

Kecemerlangan Dan Kehebatan Mahasiswa Sinergi Perubahan Negara

Tugas sebagai sebagai seorang mahasiswa memang berat tetapi tugas sebagai seorang dewasa lagi berat. Jika dikatakan bahawa mahasiswa di alam kampus yang belum lagi mendirikan rumahtangga ini sibuk dengan pelbagai tugasan maka waktu selepas mendirikan rumahtangga itu pastinya akan lebih sibuk dan diuji dengan pelbagai ujian.

Inilah lumrah sebuah kehidupan. Masing-masing ada cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Sekiranya dunia ini hanya semata-mata kesenangan nescaya Allah SWT tidak perlu menjadikan di akhirat kelak adanya syurga dan neraka.
Oleh yang demikian, untuk mendapatkan syurga ini iaitu kesenangan yang hakiki  maka ianya memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang gigih serta berterusan (istiqamah).
Dewasa ini telah timbul pelbagai cerita dan kisah yang berkaitan dengan mahasiswa. Di Malaysia kita telah melihat bagaimana kebangkitan mahasiswa dalam menuntut hak dan mengembalikan semula kebebasan yang selama ini dikongkong oleh pihak-pihak tertentu.
Kuasa mahasiswa cukup hebat. Kehebatannya mampu untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang angguh dan zalim. Ini jelas terbukti, era pemerintahan Suharto, Presiden Indonesia suatu ketika dahulu mampu untuk digulingkan oleh kesatuan yang ditunjukkan  oleh mahasiswa

Inilah hebatnya kuasa kerja yang ada pada mahasiswa dan anak muda.

Namun, kehandalan dan kehebatan yang ada pada mahasiswa itu perlu digunakan pada tempatnya. Mahasiswa agen perubah masa depan negara.
Justeru, usaha ke arah mempertingkatkan jati diri sebagai seorang mahasiswa yang matang dan waras dalam setiap tindakannya perlu dilaksanakan bermula daripada sekarang.
Mahasiswa sekarang perlu menonjolkan kehebatan diri mereka kepada khayalak umum bukan untuk bermegah , riak dan takabbur tetapi untuk Islam supaya kehebatan Islam itu dapat dilihat pada jiwa mahasiswa.
Oleh yang demikian mahasiswa Islam perlu sentiasa optimis dan meletakkan diri mereka sebaris dengan mereka yang berjaya.
Kita inginkan mahasiswa yang mantap dari sudut thaqafah, hebat dari kemahiran, menarik dari sudut perancangan, cantik dari sudut gerak kerja dan tindakan serta dan mahasiswa yang meletakkan kepentingan ummat dan masyarakat sejagat melebihi daripada kepentingan diri sendiri.
Selain itu, kita juga mengimpikan mahasiswa yang sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain mengikut apa jua posisi, supaya keberadaan dan kewujudan kita dalam masyarakat dapat membantu kerja-kerja Islam.
Bukan dikatakan mahasiswa Islam itu hebat sekiranya mereka memiliki kesemua ciri-ciri yang disebutkan tadi sekiranya perkara tersebut tidak digunakan untuk memberi kebaikan kepada orang lain.
Bukanlah juga dikatakan mahasiswa Islam itu hebat sekiranya hanya mampu berceramah dan memberi tazkirah di merata-rata tempat semata-mata tanpa dibuktikan dengan kecemerlangan prestasi akademik.
Justeru, sebagai mahasiswa yang mendokong segala prinsip dan ajaran Islam, maka semestinya kitalah orang yang  sepatutnya memegang ‘title’ cemerlang itu.
Oleh itu, saya berpesan kepada seluruh mahasiswa Islam yang berada di Bumi Mesir ini khususnya supaya melakukan yang terbaik di dalam peperiksaan semesta pertama yang berlangsung sepanjang Januari ini seterusnya menjayakan suptopik ucapan dasar Presiden PMRAMKecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama “.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

ABDUL AZIZ BIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN,
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR 2011.

sumber : PMRAM

Cakna Mahasiswa : Tahniah PMRAM!


KAHERAH, 17 Julai – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati dan mengingatkan semua mahasiswa Islam agar tenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu berhubung isu hak mahasiswa yang berlaku baru-baru ini.

PMRAM sentiasa memantau dan mengikuti isu ini dan melihat isu hak mahasiswa ini sangat besar dan sedang panas di kalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Selain itu, PMRAM meminta agar semua kes yang berlakudapat dilaporkan secara bertulis ke peringkat PMRAM untuk tindakan susulan di peringkat PMRAM bagi kajian dan jalan penyelesaian.

“PMRAM sentiasa memerhatikan perkembangan isu ini dari semasa ke semasa dan kita melihat ia isu yang besar kerana melibatkan hak mahasiswa. Justeru, PMRAM menasihati mahasiswa Islam untuk tidak mengambil tindakan melulu dan menyerahkan tindakan kepada PMRAM untuk diselesaikan dengan cara yang terbaik”, ujar Presiden PMRAM; Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.
Sumber : http://www.pmram.org/v2/


© Permata :satu lagi bukti kecaknaan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) berkenaan kebajikan mahasiswa mesir. PMRAM sentiasa membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah dalam pendidikan dan juga masalah-masalah lain.


Saya memuji tindakan PMRAM yang sentiasa bertindak menggunakan 'lisanul haal' daripada hanya bercakap mengenai menjaga kebajikan,tetapi hanya retorik..


sekali lagi,TAHNIAH buat PMRAM!


Semoga Allah Taala sentiasa menjaga kesatuan dan melimpahkan Rahmat kepada PMRAM..amin.

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -