Rakyat Malaysia yang bercadang melawat Mesir dan yang sedang berada di
negara itu dinasihatkan agar tidak berkunjung atau melalui Dataran
Tahrir di Kaherah dan kawasan berhampiran, terutama pada hari Jumaat.
Kementerian
Luar, dalam satu kenyataan, turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya
mengelak lokasi 'panas' lain di negara tersebut.
Rakyat Malaysia
juga diseru sentiasa berhati-hati dalam soal keselamatan diri dan peka
serta mematuhi sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak
berkuasa Mesir.
Selain itu, Wisma Putra turut menasihatkan rakyat
Malaysia di Mesir untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di
Kaherah, yang boleh dihubungi di talian +00-202-37610013/19/68/73 atau
e-mel malcairo@kln.gov.my.
Mesir kini dilanda kekacauan apabila
beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir sejak Jumaat
bagi menuntut junta tentera Mesir mengembalikan kuasa kepada
pemerintahan awam.
Sementara itu,
AFP melaporkan angka kematian akibat pertempuran antara penunjuk perasaan dengan anggota polis di Mesir kini mencecah 30 orang.
Angka terbaru itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan apabila keganasan memasuki hari keempat hari ini.
Dua
lagi maut di Kaherah semalam, menurut kenyataan yang dipetik agensi
berita MENA selepas kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di
perkarangan ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri yang berhampiran
dengan Dataran Tahrir.
Polis dikerah untuk mengawal keadaan selepas penunjuk perasaan menuntut agar Mesir dibebaskan daripada pemerintahan tentera.
Lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpulan di Dataran Tahrir untuk menuntut peralihan kuasa tentera kepada awam.
kredit : MK