- Back to Home »
- hukum hudud , Ulasan Isu »
- HUDUD : ANTARA 'TIDAK MENYOKONG' DAN 'MENGHALANG'
Sesungguhnya Allah akan bagi dugaan berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerimanya.
Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) kali ini mencatatkan sejarah
tersendiri kerana telah berjaya memincang isu utama yang menyentuh
secara langsung pendirian PR.
Hasil perbincangan yang memakan masa lebih tiga jam itu telah merumuskan
satu keputusan yang akan memperteguhkan lagi hubungan PR walaupun
berhadapan dengan isu yang rumit. Ternyata cubaan Umno-BN sekali lagi
gagal memecah-belahkan PR dalam isu ini.
Pendirian PR dalam memperakui Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993
dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 membuktikan PR telah
bertindak dengan penuh cermat dan berhemah dalam mencari penyelesaian
terbaik dalam isu pelaksanaan hudud.
Perakuan ini bermakna PR memperakui bahawa undang- undang jenayah
syariah yang dilulus oleh kedua- dua dewan negeri telah melalui prosedur
yang betul, menepati kehendak dalam sistem demokrasi.
Sehubungan itu, perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan
1993, dan Enakman Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah diluluskan
oleh Dewan Undangan Negeri maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai
hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.
Persoalan sekarang ialah sejauhmana kesediaan pusat untuk memberi
kebenaran untuk pelaksanaan merupakan perkara kedua yang perlu
diselesaikan.
Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang dibawanya,
kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka.
Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi
yang dipersetujui bersama.
Kini terpulanglah kepada kerajaan Kelantan bagi menggazetkan undang-undang tersebut.
PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal ini dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak. Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka.
DAP berpendapat ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah. Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguat-kuasakannya.
Jadi jelas, yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun, dan bukannya DAP. DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.
PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini. Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf.
Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya. Tambahan pula, dengan kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.
Namun responnya mengecewakan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan mereka dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini.
Keputusan yang dibuat PR ternyata jauh lebih baik dari pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Sebagai 'damage control' ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.
54 tahun memerintah tapi dalam keadaan kononya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah.
Pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.
MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu. Tapi, tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu. Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?
Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia.
Sikap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bilakah Umno akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini? Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno.
Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud telah diadakan setiap tahun. Kerana itu, bilamana isu hudud timbul dan dipolemikkan oleh media Umno, rakyat Kelantan samada Islam atau bukan Islam langsung tidak termakan dengan polemik tersebut, kerana mereka telah biasa dengan isu ini.
Menteri Besar Kelantan telah menjelaskan perkara ini berpuluh kali bahawa beliau ingin melaksanakan sistem perundangan syarak ini kerana amanah yang terpikul di atas bahunya di akhirat.
Bahkan, kalau diamati beberapa langkah kerajaan negeri dalam pelaksanaan pembangunan Kelantan selaras dengan syarak tidaklah menguntungkan politik PAS di Kelantan - sebagai contoh tindakan menutup premis perjudian, kelab malam, disko dan menghadkan penjualan arak; semua ini dari sudut politik ia bukanlah menguntungkan PAS.
Natijahnya taukeh judi, kaki judi, disko dan lainnya tidak akan memberi undi kepada PAS, kerana mereka akan menentang peraturan ini. Namun, kerajaan Kelantan terus melaksanakannya semata-mata kerana tuntutan syarak.
PAS melihat keputusan yang telah dibuat oleh PR memberi ruang pengiktirafan dalam lingkungan demokrasi. Keputusan rakyat Kelantan untuk menerima PAS sebagai parti yang mewakili mereka, serta tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 adalah hak dan dalam bidang kuasa mereka.
Bagi PAS, isu yang dipertikai adalah apakah perundangan syariah itu menepati kehendak perlembagaan atau berlawanan dengan kehendak perlembagaan negara, dan ini mestilah ditentukan oleh mereka yang berautoriti.
PAS memberi jaminan tidak akan memaksa orang bukan Islam menerima hudud secara paksa. PAS juga ingin menegaskan di sini, hudud hanya melibatkan orang Islam sekiranya ia dapat dilaksanakan dalam kerangka demokrasi yang ada.
Namun, diharap rakyat dapat memahami situasi amat berlainan di negeri Kelantan, kerana rakyat Kelantan ingin hukum hudud dilaksanakan. Hak dan keinginan rakyat Kelantan harus dihormati.