
Akhbar adalah teman setia bagi golongan marahen dalam sesebuah negara. Ianya sebuah jambatan dalam menyebarkan segala isu yang
sedang melanda.
Justeru akhbar perlu dikemudikan dengan sebaik-baiknya
agar ianya bukan bersifat tangkap muat, fitnah, penghasutan dan
provokasi yang boleh mencetuskan suasana huru-hara dalam negara.
Melihat kepada paparan utama akhbar
Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei 2012, PMRAM amat kesal dengan paparan
tersebut yang jelas mencerminkan integriti yang rendah bagi sebuah
akhbar yang menjadi nadi penyebar maklumat kepada rakyat, lebih-lebih
lagi Utusan Malaysia tersenarai di kedudukan tangga yang ke-32 dalam
senarai The top 500 sites in Malaysia yang dikeluarkan oleh Alexa, The Global Leader in Analytics ( tarikh 2 mei 2012).
Justeru sebagai sebuah akhbar yang
menjadi rujukan umum, Utusan Malaysia sewajarnya memainkan peranan yang
terbaik dan bersikap matang dalam menyaring berita sebelum disebarkan
kepada masyarakat. Peranan akhbar bukanlah semat-mata untuk menyebarkan
maklumat bahkan maklumat yang dipaparkan dan disebarkan itu mestilah
jelas, benar dan tepat faktanya.
Tindakan akhbar Utusan Malaysia yang
memaparkan laporan dan berita berunsurkan lucah ini perlu dilihat
sebagai suatu perkara yang besar lebih-lebih lagi ini bukanlah kali
pertama paparan seperti ini disiarkan oleh Utusan Malaysia yang menjadi
lidah rasmi kepada kerajaan Malaysia. Berita yang dipaparkan itu jelas
mengaibkan imej peribadi individu tertentu tanpa asas yang kukuh. Bukan
itu saja, bahkan ianya juga menambahkan lagi suasana dan polemik yang
kurang enak dalam masyarakat Malaysia sejak mutakhir ini .
Pelbagai tohmahan yang mula timbul sudah
pasti menambah buruk imej Utusan Malaysia sekaligus mencemarkan lagi
kualiti kerja yang di amanahkan oleh kerajaan Malaysia. PMRAM
mengharapkan agar setiap isu yang ingin dipaparkan oleh mana-mana akhbar
termasuk Utusan Malaysia diteliti dan dikaji terlebih dahulu sebelum
penerbitan dilakukan. Apatah lagi seandainya isu tersebut melibatkan aib
dan maruah diri seseorang yang boleh mengundang pelbagai fitnah dan
persepsi masyarakat.
Peranan akhbar adalah menjelaskan isu
yang melanda, mengukuhkan perpaduan bangsa, dan mengharmonikan suasana
negara, bukan mengotorkan lagi nilai murni pemikiran anak bangsa.
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012.