Bacalah dengan hati yang terbuka dan penuh insaf...nasihat daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) kepada para politikus di tanah air sekalian..sama-sama muhasabah diri..
*********************************
Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu politik yang membabitkan adegan dan peristiwa yang sungguh memalukan negara. Belum reda isu yang berkaitan dengan paparan laporan lucah di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei yang lalu, timbul pula isu melibatkan tuduhan sebagai 'Bapa Kafir' kepada seorang tokoh agama yang tersohor di negeri Kelantan. Bahkan tohmahan tersebut ditujukan kepada seorang pemimpin yang disanjungi oleh rakyatnya.
Melihat kepada sikap kurang matang segelintir golongan cerdik pandai rakyat negara kita ini, PMRAM merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian dan pandangan selaku gerakan mahasiswa Islam yang sentiasa memerhati perkembangan dan situasi terkini negara Malaysia. Tuduhan tersebut telah dilemparkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'bapa kafir' menurut sumber (gambar).
Bagaimanpun Tan Sri Rahim Noor menafikan
beliau membuat kenyataan sedemikian. Pemberita yang namanya tersiar
sebagai salah seorang penulis berita itu, Rahmah Ghazali juga menafikan
beliau menulis berita itu.
Walau daripada siapa sekalipun tuduhan ini datang, ia tidak
sepatutnya terjadi bahkan ahkbar New Strait Times perlu
meneliti terlebih dahulu laporan yang ingin dipaparkan agar
tidak menimbulkan fitnah dan kebencian oleh rakyat. Akhbar New Strait
Times telah kerap kali mengguris hati umat Islam dan kesilapan ini
tidak sepatutnya berulang.
Tuduhan tersebut telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan persepsi
negatif serta meningkatkan lagi api kemarahan rakyat terhadap
pihak-pihak terbabit. Islam mengajar Umatnya agar sentiasa menjaga
akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila di sana
terdapat perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan Umat Islam. Islam
tidak mengajar Umatnya bertindak diluar daripada apa yang telah
digariskan oleh syarak sama ada dari segi perbuatan mahupun perkataan.
Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat ke-148 yang bermaksud :
" Allah tidak menyukai akan perkataan buruk (yang di ucapakan)
secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan sesungguhnya
Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
Justeru, sebagai seorang muslim kita seharusnya berwaspada daripada
mengeluarkan kata-kata yang kesat dan boleh menyakiti hati orang lain
lebih-lebih lagi kalimah yang dikeluarkan itu ditujukan kepada golongan
Ulama ataupun mereka yang hampir kepada Allah SWT. Bukan itu saja,
bahkan tidak salah sekiranya saya menyatakan bahawa isu mengkafirkan
orang ini adalah melibatkan isu akidah dan pegangan kita terhadap agama
Islam. Kita sebagai hamba Allah SWT tidak layak untuk menentukan
seseorang itu adalah kafir di pandangan mata kasar kita sekalipun kita
melihat mereka itu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli politik tanah air bersedia untuk
berdebat dan berdialog secara matang dengan hujah dan fakta
bukannya menfitnah dan memaki hamun orang lain apabila tidak sehaluan
dan tidak
sependapat. Islam telah meletakkan garis panduan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang membabitkan pelbagai pandangan.
Begitu juga dengan pihak media dinasihatkan jangan sesekali mengeluarkan berita tanpa diketahui asal-usulnya. Jadilah media yang adil dan matang dalam melaporkan sesuatu isu, bukan memanaskan lagi semarak kebencian rakyat dan mendatangkan fitnah yang menambah celaru.
Kami sebagai golongan anak muda mengharapkan agar seluruh rakyat
Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra dalam menyelesaikan
sesuatu konflik dan masalah bukannya menggunakan politik maki hamun,
fitnah, politik lucah dan sebagainya yang boleh mengeruhkan dan
memburukkan lagi keadaaan dan suasana harmoni kehidupan rakyat Malaysia.
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012
******************************
Permata : Islam itu Indah...:)