KAHERAH, 17 Julai 2012 — PMRAM telah menerima dua aduan berkaitan hak mahasiswa melalui Borang Aduan Hak Mahasiswa berkaitan isu campak borang dan arahan mengosongkan pejabat rasmi BKPJM kelmarin.
Berkenaan isu pencabulan hak mahasiswa
yang berlaku kepada saudara Muhammad Yassarudin bin Shamsul dan Badan
Kebajikan Pelajar Johor Mesir(BKPJM) ini ,pihak Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir (PMRAM) menyifatkan bahawa tindakan yang diambil
oleh pihak pengurusan pejabat HEP Anak Johor Mesir adalah tidak wajar
dan mencabuli hak mahasiswa.
Borang Aduan Hak Mahasiswa telah
diserahkan oleh saudara Muhammad Yazid bin Hanzir selaku YDP BKPJM
2011/2012 dan saudara Muhammad Yassarudin bin Samsul di pejabat PMRAM
pada jam 8 malam melalui Naib Presiden III, Saudara Ahmad Huzaifah Bin
Fauzi, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2012.
Berkaitan Isu campak borang, saudara
Yassaruddin menjelaskan bahawa beliau telah menyerahkan borang
permohonan menghuni Asrama Pelajar Johor (APJ) pada 1 Julai 2012.
Pada 3 Julai 2012, saudara Yassaruddin
bersama YDP dan salah seorang penasihat BKPJM saudara Miftahul Ulum
telah bertemu dengan pengurus Asrama Pelajar Johor Mesir, Tuan Hj Maulan
Asmoni bagi mendapat penjelasan berkenaan isu tersebut. Namun malang
tak diduga apabila mereka dihalau dari pejabat Pegawai Pengurus Asrama
Rumah Johor.
Pada hari yang sama, pihak pengurusan
rumah Johor telah mengeluarkan surat arahan supaya Badan Kebajikan
Pelajar Johor Mesir (BKPJM) mengosongkan Pejabat Rasmi BKPJM dengan
alasan penambahan staf HEP.
Badan kebajikan pelajar Johor Mesir
(BKPJM) diberi tempoh sehingga 15 julai 2012 untuk mengosongkan pejabat
tersebut. Pihak BKPJM telah menjawab balas surat tersebut dengan
bertegas bahawa mereka tidak akan keluar daripada pejabat tersebut. Dan
pada 12 Julai 2012, sekali lagi BKPJM menerima surat daripada pihak
pengurusan asrama yang bertarikh 10 julai 2012 mengatakan bahawa arahan
tersebut adalah muktamad.
“PMRAM akan mengkaji isu ini
melalui laporan yang telah diserahkan dan akan menyusun tindakan susulan
mengikut situasi dan keadaan. PMRAM menegaskan sekali lagi bahawa isu
ini juga berkait dengan salah satu usul PMRAM yang telah disepakati
dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali-79, ‘Memperkasakan Slogan KITA PMRAM’
dengan beberapa tindakan, antaranya mempertahankan hak mahasiswa”, ujar Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi selaku Naib Presiden III PMRAM 2012.