Posted by : Yu. Syamz Aug 24, 2011

DAMASCUS 16 OGOS : Tatkala negara kecoh dengan keadaan pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli yang cedera diserang dan disamun oleh sekumpulan belia ketika rusuhan di London awal minggu lalu, negara seolah- olah melupakan nasib pelajar yang masih lagi terperangkap di satu lagi negara yang kini bergolak hebat.

Lebih 200 pelajar Malaysia yang menuntut di Syria, berdepan dengan situasi getir seandainya rusuhan di negara itu semakin buruk lantaran pemberontakan rakyatnya terhadap pemerintahan zalim rejim Presiden Bashar Al-Assad, sejak awal tahun ini.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan ketika bercakap kepada TV Selangor berkata, rakyat Malaysia tidak dibekalkan maklumat sebenarnya tentang status pelajar Malaysia di Syria walaupun tatkala ini tentera Syria rakus membedil rakyatnya tanpa sekelumit belas ehsan.

Beliau yang juga pelajar Kuliah Dakwah Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro Jazmateah,di Damascus atau Damsyik berkata, pelajar- pelajar Malaysia kini terdedah kepada situasi getir apabila, pada satu- satu masa, rusuhan hanya berlaku beberapa meter sahaja dari rumah kediaman mereka.

"Kebanyakan pelajar tinggal di kawasan yang sama, Asaduddin dan Olihiyah di Damascus. Tempat berlaku demonstrasi memang dekatlah dengan penempatan pelajar kita.

"Saksi mengatakan mereka nampak rakyat dipukul oleh pihak keselamatan..Cuma pelajar kita dapat mengelakkan diri dari terlibat," jelas Hazuanuddin.

Syria adalah negara Arab yang turut menerima tempias revolusi rakyatnya selepas kejatuhan kerajaan Mesir dan Tunisia. Kebangkitan rakyat Syria adalah berpunca daripada konflik dalaman yang berterusan sejak Mac 2011.

Bantahan bermula pada 26 Januari 2011, dan meningkat kepada kebangkitan pada 15 Mac 2011.

Kebangkitan ini dipengaruhi oleh bantahan serentak di rantau Timur Tengah yang "belum pernah terjadi sebelumnya.

" Seorang lagi pelajar Malaysia di Syria, Syed Muslim Zainuddin menceritakan kesulitan mereka meneruskan kelangsungan hidup di sana berikutan harga makanan meningkat secara mendadak.

Muslim yang juga Penasihat Persatuan Pelajar Malaysia di Syria berkata, ramai pelajar di sana terpaksa berpindah dan menyewa secara beramai-ramai lantaran kadar sewa rumah juga meningkat secara drastik.

"Harga barangan dan keperluan harian meningkat. Kebanyakan pelajar bukan dari keluarga yang kaya. Kebanyakan bantuan berbentuk peribadi seperti dari keluarga dan sebagainya. Banyak juga pelajar keluar berpindah dari rumah kerana harga rumah sewa naik dan (kini) hidup berhimpit ramai-ramai di sebuah rumah,"katanya.

Pelajar Kuliah Dakwah Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro Jazmateah, Damascus ini turut menceritakan, beliau pernah ditahan dan diperiksa oleh tentera Syria.

Apa yang paling dikesali ratusan pelajar Malaysia di sana adalah sikap Duta Besar Malaysia ke Syria yang seolah- olah tidak serius menjaga kebajikan mereka disana.

"Secara peribadinya saya lihat (dari sudut) pantauan Kedutaan hanya berhubung dengan Persatuan untuk maklumat.

"Bila ada program di rumah persatuan baru dia (kedutaan) turun. Itupun tak selalu. Dan bukan duta yang turun, dia hantar wakil. Daripada sudut peribadi sepatutnya kedutaan hantar duta sendirilah baru pelajar lebih yakin dengan maklumat yang disampaikan kerana beliau lebih tahu hal-hal sebegini,"katanya.

Muhammad Hafizullah Muda pula menceritakan betapa pihak kedutaan seolah- olah tidak serius dengan rancangan membawa pulang pelajar- pelajar ke Malaysia.

Beliau yang kini pelajar tahun 4, Kuliah Syariah Islamiah, Mujamma' Fatah Islami Mujtahid di sini, menceritakan betapa beberapa bulan lalu, pihak kedutaan telah menawarkan untuk membiayai pelajar yang mahu pulang apabila keadaan semakin getir lantaran tindakan ketenteraan terhadap mereka yang berdemonstrasi.

"Dia (kedutaan) nak tanggung pelajar kita balik. Pelajar yang sudah habis urusan, peperiksaan boleh balik. Tapi bila pelajar dah siap kemas barang dan urusan mereka (kedutaan) kata Wisma Putra tak buat keputusan pun. Ramai yang kecewa ketika itu. Ramai ambil keputusan minta duit dengan keluarga dan balik sendiri,"katanya.

Menggunakan modus operandi yang mirip kepada Tunisia dan Mesir, rakyat Syria membuat perarakan, mogok lapar, vandalisme terhadap harta kerajaan dan rusuhan kedai- kedai.

Beribu- ribu penunjuk perasaan telah dibunuh, cedera dan ditahan.

Kumpulan hak asasi manusia dan PBB berkata pasukan keselamatan Syria telah menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata dan telah membunuh lebih 1500 orang awam.

Dalam usaha mematahkan kebangkitan rakyat, tentera Syria bertindak memasuki bandar Baniyas, Hama, Homs, Talkalakh, Latakia, Al-Midan dan Duma di Damsyik, dan beberapa bandar lain.

Penduduk tempatan mendakwa askar yang enggan berperang ditembak dan penduduk "disembelih seperti biri-biri" di atas jalan.

Negara Arab seperti Bahrain, Arab Saudi dan Kuwait telahpun memanggil pulang duta mereka ke negara itu sebagai satu bentuk tekanan ke atas negara terbabit.

Namun, Menteri Luar Malaysia, Dato' Sri Anifah Aman setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung pendirian Malaysia bersabit pergolakan di negara itu.

Sebaliknya menurut laman web kementerian Luar, satu notis bertarikh 12 Ogos 2011 dikeluarkan daripada kedutaan besar Malaysia di Syria meminta agar pelajar menjaga keselamatan diri dan berhubung dengan kedutaan.

Berdepan dengan apa sahaja kemungkinan, Hazuanuddin selaku Presiden yang mewakili pelajar Malaysia di Syria, merayu agar Wisma Putra dan kedutaan tidak memandang sebelah mata akan nasib yang bakal menimpa mereka kelak.

"Apa yang boleh kami harapkan agar pelajar di sini tidak dipandang sebelah mata dan ataupun diberi perhatian supaya tak terlepas dari sebarang maklumat. Malang tak berbau kita harap segala kemungkinan diambil kira dan semua pihak sedia ambil tindakan,"tambahnya lagi.

{ 1 Tembakan... read them below or add one }

  1. Ya allah selamatkn la semua pelajar m'sia kt sana....harap pihak berwajib dpt membayar mereka pulang ...

    ReplyDelete

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩
Terima kasih kerana sudi membaca artikel yang dimuatkan di sini,jadi sudilah kiranya utk mengulas@memberi komentar disini :

1. Jagalah adab menegur
2. Sila gunakan nama@link utk kemudahan bersama
3. Terima kasih sudi komen..
4. Boleh Guna Kod² Seperti Ini <b>, <i>, <a>

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -