Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agar sukar
untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan
"agak mengelirukan".
Beliau berkata pelbagai andaian dibuat
mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia
meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.
"Apa yang pasti
bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang
sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan,"
katanya kepada pemberita di Putra Jaya.
Beliau
berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri
kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga
negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.
Mengenai kemungkinan sukar
bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara
penyebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum
mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata beliau
tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.
"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya.
Terdahulu,
beliau menyampaikan ucap utama bertajuk 'Bahasa - Penghalang atau
Kelebihan Pelajar Melayu' pada Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa di
sini.
Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa
Inggeris bukan bermaksud seseorang itu perlu melupakan bahasa Melayu
yang menjadi identiti bangsa.
"Bahasa Melayu mesti terus dipupuk
kerana mungkin satu hari nanti ia akan menjadi bahasa ilmu tetapi
hakikatnya ketika ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris, jadi kita perlu
menguasainya," kata beliau.
Dr Mahathir berkata peranan bahasa
di zaman moden ini juga bukan sekadar menjadi penentu identiti sesuatu
bangsa tetapi juga untuk menjadikan bangsa itu sebagai bangsa
terpelajar.
sumber : teganukita