- Back to Home »
- Ilmiah , Kalam Presiden , PAS , Peringatan , ucapan »
- Nasihat : Surat terbuka kepada pejuang Melayu
Posted by : Yu. Syamz
Apr 17, 2012
Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi
pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang
dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya
penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa
sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga,
wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya,
hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini
benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.
Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan
seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya,
kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri,
tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa,
suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak
mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji
setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum,
supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia
di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
(Al-Hujurat: 13)
Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah
kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya
berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup
bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia
menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.
Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia
juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu
diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di
kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib
hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui
benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan
manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam
akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa
sahaja dan satu suku kaum sahaja.
Sempadannya ialah menegakkan
Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap
sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan
diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda
Rasulullah s.a.w:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ
وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ
مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)
Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada
asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas
tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di
atas perjuangan asobiyyah).
Asabiyyah itu ialah fanatik
terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan
adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan
cara hidup dan beragama.
Maka Islam telah berjaya
menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah
kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun
dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab
setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil
alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.
Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya
menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama
yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan
berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa
terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku
adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya
Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi
yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan
penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang
menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.
Kejatuhan
dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al-
Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait
al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang
zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para
pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan
ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:
“Kita adalah
kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari
yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita
ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“.
Kenyataan ini
berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak
untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada
yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil
terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah
orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu
berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan
mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti
kamu ini. (Surah Muhammad: 38)
Firman Allah dan ucapan ini
menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak
lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan
peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan
kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang
berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan
berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh
cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa
masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi
masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan
lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi
Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.
Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi
mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi
petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang
sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah,
sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab
sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana
laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam,
menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar
yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab,
sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.
Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO
sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu
religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO
tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu
dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang
dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama
sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya
memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga
dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa
bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu
menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang
terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan
UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya
memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan
Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.
Agama Islam yang
diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana
penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana
majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri
dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah
memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam
terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan
semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan
menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya
bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan
jatuh terhumban bersamanya.
PAS berulang kali mengajak UMNO
bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO
sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim
pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun.
Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di
bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa
al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa
al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan.
PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.
Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa
slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di
belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka
sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w
porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya,
tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan
Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua
kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.
Islam
yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada
bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain
bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii,
seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing,
tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang
paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua.
Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan
UMNO.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
.:: Arkib Permata ::.
-
▼
2012
(277)
-
▼
April
(14)
- Pandangan Saya Terhadap BERSIH 3.0
- Isu Kereta Polis langgar Pendemonstran
- Kontrak Pinjaman PTPTN Dari Perspektif Syara'
- ISMA vs AZHAR IDRUS
- Perbualan Ustaz Dengan Seorang Gadis Yang Tidak Me...
- Syariah For All
- Pelaksanaan PTPTN Wajar Dikaji Semula
- Nasihat : Surat terbuka kepada pejuang Melayu
- Ukhuwah Fillah Untuk Islam...
- Ahmad Said Sengaja Menempah Maut
- Denda Melahirkan Keinsafan Setelah Kesalahan
- Keputusan PRU-13 sukar diramal – Dr M
- Islam Agama Pengamalan..Bukan Sekadar Teori
- 1 April 2012 - 9 Hari lagi penentu nasib 9 mahasiswa
-
▼
April
(14)