Posted by : Yu. Syamz Apr 24, 2012

Isu pemansuhan pinjaman PTPTN yang dituntut oleh mahasiswa di Malaysia mendapat sambutan yang hangat di kalangan pemerhati samada daripada kalangan politikus, panel syariah serta ilmuan intelektual. Hal ini demikian kerana isu ini menjadi semakin besar apabila golongan mahasiswa mengambil keputusan dan bertekad dengan memulakan himpunan menuntut kerajaan memansuhkan pinjamanan PTPTN di Dataran Merdeka pada 14 April baru-baru ini dan meneruskan perhimpunan dengan mengadakan ‘perkhemahan’ di Dataran Merdeka tersebut bagi menunjukkan optimis dalam menuntut agar pinjaman PTPTN dimansuhkan.
 
Isu pinjaman PTPTN ini bukan hanya dilihat dari sudut pengurusan wang semata-mata bahkan ia mesti dilihat dari sudut syara’ berkenaan kontrak pinjaman PTPTN tersebutMaka MANHAL mengambil langkah untuk mengkaji dan menjawab isu yang berkaitan dengan permasalahan agama yang terdapat di dalam isu ini.
 
KONTRAK PTPTN ADALAH KONTRAK PINJAMAN
 
Terlebih dahulu kita melihat apakah konsep kontrak yang digunakan dalam PTPTN. PTPTN ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional menawarkan pinjaman kepada mahasiswa/wi dalam negeri bagi membantu permasalahan kurang kemampuan dari sudut kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Pinjaman diberikan kepada mana-mana mahasiswa/wi yang memohon dan melengkapi syarat-syarat yang ditetapkan.
 
Justeru, berdasarkan kepada penjelasan di atas, PTPTN adalah melibatkan isu kontrak pinjaman. Iaitu mahasiswa/wi memohon pinjaman untuk membiayai bayaran pendidikan mereka.
 
 
HUKUM BAGI KONTRAK PINJAMAN
 
Asal hukum bagi kontrak pinjaman adalah kontrak membantu. Para fuqaha menegaskan bahawa kontrak pinjaman adalah berbeza dengan kontrak jual beli dan juga kontrak yang melibatkan apa jua urusan keuntungan. Maka kontrak pinjaman adalah berdasarkan hukumnya iaitu atas dasar membantu bukan atas dasar keuntungan.
 
Disebabkan itu, pihak yang memberikan pinjaman tidak boleh mengambil sebarang caj atau faedah tambahan dengan mengenakan apa jua syarat untuk memastikan mendapat pemulangan yang lebih tinggi, dengan erti kata yang lain iaitu keuntungan daripada hutang yang diberikan.
 
Jika sekiranya pihak yang memberikan pinjaman atau hutang meletakkan syarat agar pihak yang berhutang untuk melunaskan hutang dengan kadar yang lebih tinggi atau dikenakan denda apabila lewat melunaskan hutang maka hukumnya adalah haram mengikut ijmak ulama. Hal ini demikian kerana tambahan yang berlaku ke atas nilai asal hutang tersebut merupakan riba. Hukum riba adalah secara jelas dan qath’ie bahawa haram bahkan tergolong dalam dosa-dosa besar.
 
 
PINJAMAN PTPTN DAN KONSEP MELANGSAIKAN HUTANG
 
Mahasiswa/wi yang mengambil pinjaman PTPTN tidak dapat tidak dikenakan caj bayaran dengan kadar 3% daripada hutang. Dan ini merujuk kepada sistem konvensional yang dijalankan oleh pihak pengurusanBahkan setiap tahun apabila pihak yang berhutang lewat untuk menjelaskan hutang mereka maka nilai jumlah hutang mereka akan bertambah mengikut kadar caj yang dikenakan.
 
Begitu juga, pihak pengurusan PTPTN akan memilih beberapa kuota yang diberikan hak istimewa iaitu pelepasan dari pembayaran semula hutang mengikut kepada kriteria yang ditentukan iaitu cemerlang dari pelbagai program dan institusi pengajian tinggi yang mewakili keseluruhan penerima ijazah kelas pertama atau setaraf.
 
 
KONSEP MELANGSAIKAN PINJAMAN / HUTANG DALAM ISLAM
 
Islam telah meletakkan beberapa garis panduan yang tetap dalam isu melangsaikan pinjaman atau hutang. Garis panduan tersebut ialah :
 
Haram meletakkan syarat ke atas kontrak pinjaman yang berbentuk sebarang faedah bagi mendapatkan keuntungan. Berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW : 
  كُلّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعاً فَهُوَ الرِّباَ
 
“setiap pinjaman yang berlaku ke atasnya manfaat (mensyaratkan bayar lebih dari nilai asal) maka ia dikira riba”
Sunan Baihaqi Kubra no 10715.
 
Walaupun kadar faedah atau caj yang dikenakan ke atas pinjaman tadi adalah amat kecil maka ia dikira tetap haram kerana ia tetap riba. Hal ini sebagaimana yang berlaku di zaman jahiliyah sehingga digelar sebagai Riba Jahiliyah. Dan ia telah diharamkan oleh Allah SWT.
 
     FirmanNya :
 
 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡڪُلُواْ ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضۡعَـٰفً۬ا مُّضَـٰعَفَةً۬‌ۖ
  
 "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda
Surah Ali Imran ayat yang ke-130.
   
Sekiranya pihak yang meminjam tidak ada kemampuan untuk membayar pada waktu yang telah ditetapkan maka pihak yang memberikan hutang hendaklah menunggu sehingga pihak yang berhutang mampu membayar dengan syarat tanpa dikenakan sebarang faedah kerana tambahan yang dikenakan merupakan riba.
 
     Firman Allah SWT menyebutkan bahawa :
 
وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٍ۬ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٍ۬‌ۚ
 
“sekiranya mereka (pihak yang berhutang) mempunyai kesulitan (untuk membayar pada waktu yang ditetapkan) maka berikanlah masa sehingga mereka senang (mampu untuk bayar)” – Surah Al-Baqarah pada ayat ke-280
 
- Digalakkan pihak yang berhutang untuk membayar hutang dengan lebih baik iaitu sebagai hadiah, bukan atas sebab syarat. Hal ini digalakkan berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :
 
“sesungguhnya orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang memperelokkan bayaran (hutang)” – Sahih Muslim no 1600.
 
- Sekiranya pihak yang berhutang tidak mampu untuk melangsaikan hutang kerana mempunyai masalah yang kritikal maka pihak yang memberikan hutang digalakkan untuk melepaskan bayaran. Bahkan digalakkan juga melepaskan bayaran kepada mana-mana pihak yang berhutang walaupun tanpa sebab, atas dasar hadiah atau sedekah.
 
Firman Allah SWT :
 
وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٍ۬ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٍ۬‌ۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
 
“maka sekiranya kamu melepaskan hutang, maka itu adalah yang terbaik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahuinya”
Surah Al-Baqarah pada ayat ke-280.
 
 
SEBARANG UNSUR RIBA ADALAH HARAM
 
Berdasarkan penjelasan di atas maka dikenal pasti bahawa pinjaman PTPTN mengandungi unsur riba iaitu dikenakan kadar caj tambahan sebanyak 3 peratus kepada penghutang ke atas nilai hutang. Maka ia mempunyai unsur yang sama dengan pinjaman yang dikenakan syarat iaitu penambahan ke atas nilai asal hutang.
 
Justeru, pinjaman PTPTN tergolong dalam kontrak yang mengandungi unsur riba dan hukumnya adalah haram.
 
Jelas berdasarkan firman Allah SWT bahawa riba adalah diharamkan. Rujuk ayat Al-Quran pada surah Al-Baqarah pada ayat ke-275 sehingga 279.
 
Nabi SAW juga memberikan peringatan kepada umatnya agar menjauhi 7 perkara yang mendatangkan dosa besar, antaranya ialah riba. – Sahih Bukhari no 2766
 
Pada bulan Mei 1956, sidang muktamar kali ke-2 bagi Mujamma’ Buhuth Islamiyah yang diadakan di Kaherah di bawah kelolaan Syeikh Al-Azhar ketika itu, telah memutuskan bahawa sebarang faedah yang dikenakan ke atas apa jua pinjaman adalah riba dan hukumnya adalah haram.
 
Syeikh Rashid Redha menukilkan fatwa daripada Syeikh Muhammad Abduh antara faktor Allah mengharamkan riba adalah kerana riba merupakan kontrak yang mendapatkan pertambahan tanpa ada gantian. Hal ini berbeza dengan kontrak jual beli iaitu pertukaran atau gantian antara dua belah pihak yang melibatkan barangan jualan dengan wang belian. Hujah ini juga adalah untuk menolak dakwaan pihak jahiliyah yang menyifatkan bahawa kontrak jual beli adalah sama sebagaimana dengan unsur riba.
 
KESIMPULAN
 
Berdasarkan kepada kajian di atas, maka jelas kepada kita bahawa kontrak pinjaman PTPTN mengandungi unsur riba dan hukumnya jelas adalah haram. Justeru, respon pihak MANHAL berikutan isu pemansuhan PTPTN perlu dilihat dari perspektif syarak.
 
Hasilnya, MANHAL memberikan pendirian yang jelas iaitu :
 
  1. Pinjaman PTPTN merupakan kontrak pinjaman. Dan kadar caj bayaran tambahan ke atas nilai asal hutang merupakan riba.
  2. Sebarang kontrak yang mengandungi unsur faedah adalah riba dan hukumnya haram.
  3. Perkara utama yang mesti dilakukan oleh kerajaan dalam isu PTPTN ini ialah menghapuskan sistem bayaran yang mengandungi unsur riba.    Peminjam hanya perlu mambayar nilai asal pinjaman yang mereka lakukan tanpa dikenakan sebarang faedah atau caj tambahan ke atas nilai asal.
  4. Berkaitan tuntutan mahasiswa dalam pemansuhan bayaran pinjaman PTPTN , pihak MANHAL melihat sekiranya pemansuhan tersebut memberikan faedah dan maslahat yang besar kepada rakyat terutama golongan mahasiswa/wi dalam konteks pembangunan insan, tanpa memudharatkan negara, maka elok untuk dilaksanakan tuntutan pemansuhan bayaran pinjaman PTPTN dengan rangka pengurusan yang terbaik.
 
Sekian,
 
Disediakan oleh
MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN
PENGERUSI FELO MANHAL PMRAM 2012

Leave a Reply

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩
Terima kasih kerana sudi membaca artikel yang dimuatkan di sini,jadi sudilah kiranya utk mengulas@memberi komentar disini :

1. Jagalah adab menegur
2. Sila gunakan nama@link utk kemudahan bersama
3. Terima kasih sudi komen..
4. Boleh Guna Kod² Seperti Ini <b>, <i>, <a>

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -