Pada 18/1/2012 bersamaan 24 Safar 1433H Al-Muhaddis Sheikh Muhammad
Awwamah telah mengunjungi Masjid Al-Azhar Al-Syarif dan telah memberikan
beberapa pesanan yang penting kepada syabab penuntut ilmu di Al-Azhar.
Beberapa orang teman meminta saya supaya menulis nota-nota ucapan
beliau, supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Maka, dengan mengharapkan
inayah daripada Allah saya tuliskan beberapa terjemahan kalam-kalam
penting daripada beliau; Berkata Sheikh Muhammad Awwamah hafizahullah:
1.
Ketika saya masuk ke dalam masjid Azhar hati saya menjadi khusyu'
kerana kehebatan ulama yang telah meninggalkan kesan kepada masjid ini,
bahkan batu-batu di masjid ini berkata tentang keagungannya dan
kehebatannya.
2. Pemuda-pemuda adalah tunjang kehidupan
dan tunjang ummat, oleh itu takutilah Allah dalam waktu kamu dan himmah
kamu dan tundukkanlah ia untuk berkhidmat kepada agama ini. Kerana Allah
s.w.t berfirman "Dan dia memberi kepada kamu apa sahaja yang kamu
minta" maka apabila hati kamu bertawajjuh untuk ilmu, maka Allah
azzawajallah akan memberikannya.
3. Ulama dahulu
berkhidmat kepada ilmu dengan hebat sehingga kamu tidak akan percaya
kisah-kisah mereka yang akan saya ceritakan, tetapi ilmu-ilmu itu masuk
ke dalam kubur bersama ulama tersebut, maka kewajipan kamu adalah untuk
menghidupkannya kembali.
4. Ada dua cara dalam menuntut ilmu agama;
Pertama
adalah dengan Bertalaqqi, faham, membaca, bermunaqashah, dan
berbincang, saya hidup dengan cara ini dalam menuntut ilmu. Dan cara ini
yang diamalkan di Negara saya. Saya tidak nampak cara yang lebih baik
disibukkan oleh penuntut ilmu melainkan cara ini.
Kedua
adalah dengan cara yang memadai dengan meminta ijazah sanad daripada
para ulama, cara ini akan menjadikan penuntut ilmu tertipu dan boleh
menjadi fitnah kepada agama.
5. Saya ingin menyampaikan kepada kepada kamu 4 pesanan;
Pertama,
Menyedari dan muhasabah diri kita bahawasanya ILMU ini adalah sebagai
wasilah untuk kita berAMAL, bukan semata-mata untuk memberi muhadarah,
membuat penulisan, dan untuk membuat tahqiq. Kita beri cahaya kepada
hati kita untuk beramal, kemudian untuk disampaikan, diajar kepada
orang. Oleh itu saya menasihati kamu semua untuk membaca kitab Iqtidho'
Al-Ilmi Al-Amal karangan Sheikh Khatib Baghdadi.
Kedua,
Jangan sesekali putus asa dalam mensibukkan diri menuntut Ilmu, walaupun
beberapa minit yang singkat daripada umur kita. Maka perlu kita
sentiasa membawa pen, kertas dan kitab untuk berbincang dan menuntut
ilmu. Penuntut Ilmu adalah seperti berada di medan Jihad menentang
kejahilan dan orang-orang yang jahil, maka adakah di sana
tentera-tentera yang sanggup untuk masuk ke dalam medan ini?
Ketiga,
Jangan berkata sesuatu melainkan selepas tathabut (meneliti, memastikan
kebenaran) kata-kata tersebut, kerana sesungguhnya Ilmu ini adalah
agama maka lihatlah daripada siapa (sumber) kamu mengambil agama kamu.
Keempat, Jangan lupa daripada berdoa kepada saya (Sheikh Muhammad Awwamah) ahli keluarga saya, dan guru-guru saya.
5. Saya berpesan kepada kamu untuk mengamalkan 3 doa ini.
Pertama, Selepas solat subuh baca doa ini
"اللهم إني أسألك علما نافعا ورزقا طيبا وعملا متقبلا"
Kedua
, Doa yang diamalkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq dan Saidina
Abdullah Ibn Mas'ud. Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat ketiga solat
maghrib, sebelum turun untuk ruku' baca doa ini.
"ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب"
Ketiga, Doa yang diamalkan oleh Saidina Abdullah Ibn Umar, Berdoa ketika sujud.
"اللهم لك سجد سوادي وبك امن فؤادي اللهم ارزقني علما ينفعني وعملا يرفعني"
Wallahua'lam,
selesai kalam-kalam Sheikh. Jika ada sebarang kesalahan harap dapat
ditegur dan diperbetulkan. Moga Allah memanfaatkan saya dan kita semua
dengan ilmu beliau, guru-guru beliau dan ulama-ulama lain. Ameen.
perkongsian daripada :
Akhi
Mohd Fauzan bin Abdullah
Bijiwar Al-Azhar