- Back to Home »
- Peringatan , Tarbiyah , Tazkirah »
- SBRB-Sila hindari
SBRB = Sombong, Bongkak, Riak & Berlagak
Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang
sama iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau
keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan
Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga. Firman Allah yang
bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai
hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang
hina-dina.” – (Al-Mukmin: 60).
Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan
takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan
tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang
dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat
melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya
sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat. Imam
Al-Ghazali berkata: “Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah,
sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.”
Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati
yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia
daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi
Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.
Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini
tidak boleh menjadi pemimpin jamaah terutamanya. Ditakuti melalui
tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya
lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.
Sifat ini boleh membawa kebinasaan kepada petugas dan pemimpin
jamaah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat
untuk rapat dengan dia dan jamaah.
Orang yang takbur mereka lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah,
iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti
dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud:
Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah
pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang
melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]
Tanda-tanda sifat takbur dalam berbagai bentuk
Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya suka memandang berat kepada golongan kaya dan orang kenamaan
Mengambil berat secara berlebihan dalam pakaian
Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang
Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga dengan berlebihan sehingga
sukar difahami. Inilah yang diperingat oleh baginda nabi Muhammad SAW
“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang
memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih
(rumput) dengan lidahnya” (Abu Daud dan al-Tirmizi)
Kagum dengan ilmu sendiri dan membodohkan orang lain
Cara untuk mengubat
Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaduk. Orang yang
tawaduk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang,
bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua
orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang. Beliau sentiasa berhubung
dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.
Sebagai ahli Pas hendaklah mesti bersikap rendah diri samaada sesama
anggota atau dengan orang lain lebih-lebih lagi yang bertaraf pemimpin.
Railah ahli Pas, bukan wang yang mereka minta. Mereka hanya perlukan
senyuman, teguran dan sentuhan daripada pemimpin. Ini sahaja yang mereka
minta. Mereka tidak minta upah semasa mereka memenangkan kita sebagai
wakil rakyat. Mereka meninggalkan kerja harian, untuk bertugas kepada
calon yang bertanding, walaupun keluarga mereka memerlukan perbelanjaan
harian. Mereka tidak pernah merungut dan mengeluh terhadap curahan
tenaga mereka yang tidak pernah dibayar.
Walaupun kita bijak macam mana sekalipun, dia perlu membuang sifat
ego daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam,
bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja
secara sukarela bukan ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam
jamaah insyaAllah ia akan merancakkan kerja jamaah dan dapat melebarkan
pengaruh Pas kepada orang luar. Sekiranya ahli dan pemimpin Pas dengan
sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan
boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong
tidak boleh kekal lama dalam Pas dan memajukan jamaah dengan lebih
cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah.
Abdullah Ibn Masud ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu berputus asa dan rasa bangga diri.
Sifat tawadhuk akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang
dibawa oleh Pas. Mereka apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang
memulakan salam dengan semua yang ditemuinya. Mereka bersikap sederhana
ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis. Mereka
makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya dan berjalan di atas muka
bumi dengan rasa rendah hati.
Firman Allah s.w.t
“Dan hamba Allah yang baik; ialah orang-orang yang berjalan di atas
muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa
mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan
(kesejahteraan) (al-Furqan: 63)
Merendah diri dan menerima kebenaran dan bersedia mengikutnya
sekalipun orang-orang jahil menasihatinya. Takabbur atau sombong sangat
dibenci oleh Allah dan juga oleh manusia lain. Kemuliaan di sisi Allah
diukur dari segi ketaqwaan seseorang itu bukannya pangkat, harta dan
lain-lain.
Juga sabdanya s.a.w.:
“Barangsiapa yang merendahkan diri kerana Allah, maka ia diangkat
darjatnya oleh Allah dan barangsiapa yang sombong, maka direndahkan
tingkatnya oleh Allah.”
Rasulullah SAW bersabda :
Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat
tawadhuk sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain,
dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang
yang lain” (Muslim dan Abu Daud) Nasih : 38
Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap
takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia
daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan
dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih
lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah
beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil
anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan
kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya.
Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi,
katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya,
sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang
kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.- oleh : Ustaz Idris Ahmad
Permata : ish...payahnya menjaga diri dari sifat2 bongkak,riak,takabbur dan ujub ini...Allah...semoga Allah sentiasa memelihara diri kita semua daripada sifat2 SBRB ni...
.:: Arkib Permata ::.
-
▼
2012
(277)
-
▼
January
(28)
- Selamat Hari Lahir Sayang
- FORUM MAHASISWA 2012[" MAHASISWA : TIPIKAL vs SUPE...
- [Video] Filem Yang Membongkar Fakta Pemerintahan D...
- Arwah Ibu Lawat Jenazah Anak (Kisah Benar)
- SBRB-Sila hindari
- Jadi 'HERO' dan 'HEROIN' yang BerAKAL
- Petikan Pengajian Fadhilatu Sheikh Muhammad Awammah
- Saiful Bukhari dan KBSB - Pendedahan eksklusif unt...
- AWAS : 'Rohypnol' TAKTIK BARU PEROGOL
- HOT [video] : Pendedahan siapa Abu Aqif Studio?
- Biarlah Berpada-pada
- PARTI ISLAM MENANG UNDI PILIHAN RAYA PARLIMEN MESIR
- Lagi Penindasan Terhadap Mahasiswa-Angkara video p...
- Hukum Penggunaan Wang Zakat. Lampiran Khas 2
- Hukum Guna Wang Zakat : Lampiran Khas 1
- Asnaf ZAKAT : Menteri Termasuk, Pelajar Terkeluar...
- 10 Wasiat Imam As-Syahid Hassan Al-Banna
- DSAI bebas - Pemfitnah,Pemaki Hamun?Apa Nasib Mereka?
- [Sirah Untuk Direnungkan] - Pemecatan Dato' Hassan...
- Selamat Hari Lahir ke-2 buah hatiku..
- Video | Fitnah - Pandangan UAI
- Kecemerlangan Dan Kehebatan Mahasiswa Sinergi Peru...
- Ustaz Azhar Idrus Ejen Iblis, Yahudi Kerana Bermai...
- biodata | sejarah hidup ustaz azhar idrus
- Dahsyatnya FITNAH [bhg 2]
- Dahsyatnya FITNAH [bhg 1]
- TIPS BAGI MENGHILANGKAN RASA CINTA DAN RINDU
- 100 Tahun Memertabatkan Islam di Negeri Terengganu
-
▼
January
(28)