Terjun ala ‘Superman’KUALA BERANG - Sebuah rumah seorang warga emas di Taman Indah Sari dipecah masuk kira-kira 11 pagi semalam.
Kejadian
berlaku ketika Mandak Salleh, 67, pulang ke rumahnya untuk mengambil
ubat kencing manis dan darah tinggi selepas dua hari bermalam di rumah
anak perempuannya, Wan Faizatul Akmawati Wan Muda, 44, tidak jauh dari
situ.
Menurutnya, ketika dia, anaknya, Wan
Faizatul Akmawati dan menantunya Mabath Khan Silah Ayob, 48, tiba di
rumah berkenaan, mereka dikejutkan dengan kelibat seseorang yang berada
di dalam rumah, sedangkan tiada siapa yang menghuni rumahnya sejak dia
tinggal bersama anaknya.
“Ketika makcik hendak membuka pintu utama rumah, menantu makcik, Mabath ternampak orang di dalam rumah seolah-olah cuba keluar dari kawasan ini.
“Kata
Mabath, dia seolah-olah mengenali pencuri itu dan mendakwa sudah
beberapa kali memecah masuk untuk mencuri,” katanya ketika ditemui
rumahnya di sini semalam.
Mandak berkata, menantunya meminta Wan
Faizatul Akmawati ke belakang rumah bagi mengepung pencuri itu sebelum
memaklumkannya kepada polis.
“Dalam keadaan kelam kabut, Mabath
nekad hendak masuk ke rumah itu untuk menangkap pencuri berkenaan. Dia
meminta kunci rumah daripada isterinya yang ketika itu berada di
belakang rumah,” katanya.
Bagaimanapun, ketika Wan Faizatul
Akmawati menyerahkan kunci kepada suaminya, pencuri itu nekad terjun ala
‘Superman’ melalui tingkap dari rumah dua tingkat tersebut.
“Dalam
sekelip mata sahaja, pencuri berkenaan hilang tanpa sebarang bunyi
kerana setelah diperiksa di dalam rumah, dia sudah tiada,” katanya.
Sementara
itu, Wan Faizatul Akmawati berkata, pencuri berkenaan mungkin masuk ke
dalam rumah berkenaan melalui sisir angin bilik mandi kerana cermin
tingkap tersusun di atas pagar dan kerusi diatur elok untuk
memudahkannya memanjat masuk.
“Kejadian ini adalah kali keempat
dan saya percaya ia kerja penagih dadah yang mahu mencuri barangan di
dalam rumah ini ketika ibu saya tiada,” katanya.
Mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang. -SH
sumber : greenboc