MEMORI DI FACEBOOK TIGA TAHUN LEPAS
3 hours ago
Kerana ulama akhirat adalah berhati-hati sifatnya, dalam perbuatan mahupun kelakuan. Pada mereka al-hazmu berhati-hati besar manfaatnya, kerana mereka tahu andai ijtihad itu dilakukan tanpa suatu kajian dan ilmu khusus ia menjadi fatwa ikut-ikutan dan pastinya besar implikasinya kepada diri mereka khususnya masyarakat yang mengambil fatwa mereka sebagai pegangan.“Jikalau mereka ditanya mengenai hukum yang benar-benar jelas ada dalam al-Quran dan Sunah, ijmak dan qias maka berfatwalah mereka. Dan apabila ditanya kepada mereka sesuatu yang diragukan, maka mereka akan menjawab, ‘La adri (aku tidak tahu)’, jika mereka ditanya mengenai sesuatu yang hampir diyakininya, berdasarkan ijtihad dan tekaan mereka, maka mereka akan berhati-hati, mempertahankan diri dan menyerahkan penjawapan kepada orang lain, jika ada kemampuan tersebut pada orang lain.” (Ihya Ulumuddin, jidil 1)
Jelas di sini bahawa kemuliaan seorang ulama itu bukan sahaja kepada ketinggian ilmu mereka namun sikap berhati-hati dan tawaduk mereka. Akhlak sebegini mungkin akan mendatangkan telahan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat namun mereka sedar bahawa walaupun mereka berilmu pastinya diri mereka juga punya kelemahan.“Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)”. (Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, hadis marfu’)
Begitu juga halnya yang berlaku kepada Abdullah Ibnu Umar saat dirinya ditanya bagi mendapatkan fatwa. Beliau berkata dengan tegas,“La adri adalah setengah daripada ilmu. Sesiapa yang berdiam diri kepada perkara yang tidak diketahuinya kerana Allah taala, maka tidak akan kurang pahalanya berbanding orang yang berkata-kata. Kerana mengaku bodoh adalah perbuatan yang berat bagi seseorang itu.”
Demikian juga, adalah mustahil bagi seorang manusia biasa sebagaimana tinggi dan alimnya ilmu mereka dapat menjawab semua persoalan yang diusulkan. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya kepada Baginda sesuatu yang tidak atau belum diketahuinya, tanpa segan dan takut maruahnya sebagai pemimpin agung orang Islam tercalar, baginda akan menjawab, “La adri.”“Pergilah kepada ketua kamu yang sudah menerima beban tanggungjawab segala urusan manusia. Maka letakkanlah urusan tersebut kepadanya.”
Justeru, wajarlah kita sebagai orang Islam mengambil iktibar daripada para ulama muktabar salafus soleh dalam urusan harian kita. Janganlah menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kehinaan hanya kerana sebuah ego dan takut dianggap orang tidak berilmu. Setiap persoalan khususnya mengenai agama dan hukam-hakamnya mesti dijawab dengan berhati-hati agar tidak berlaku penambahan atau pengurangan dan jika tidak tahu maka jawab sahaja, “La adri”.“Orang yang memberi fatwa terhadap semua persoalan yang diminta kepada mereka fatwanya adalah gila!” Seterusnya beliau menyambung, “Benteng orang alim itu adalah la adri. Jikalau ia menyalahkan benteng itu, maka sesungguhnya bencana akan menimpa di tempat-tempat mereka berperang.”
Bayangkan Rasulullah sendiri tanpa memikirkan betapa malu dirinya yang dianggap sebagai seorang utusan Allah yang mendapat wahyu apabila menjawab tidak tahu apabila ditanya. Namun dek kerana dirinya benar-benar tidak tahu, Rasulullah sanggup berkata tidak tahu berbanding mereka-reka seterusnya berbohong demi tidak mahu malu.“Tatkala Rasulullah SAW ditanyakan mengenai tempat yang terbaik dan terburuk di bumi, maka Nabi SAW menjawab, ‘La adri.’ Sehingga datang Jibril kepada Baginda dan ditanya kepada Jibril. Jibril menjawab, “La adri.” Sehingga kemudian Allah taala sendiri yang memberitahu kepada Baginda bahawa tempat yang terbaik adalah masjid, manakala tempat yang terburuk adalah pasar.” (Direkodkan oleh Ahmad, Abu Ya’la, Al-Bazzar dan Al-Hakim daripada Ibnu Umar)
- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -