- Back to Home »
- Tazkirah , Ustaz Fadzil Noor »
- Berbondong-bondong menyertai Perjuangan..tapi....
Alhamdulillah,semakin ramai hari ini menyertai perjuangan dalam menegakkan keadilan dan meninggikan Islam dalam negara yang tercinta,Malaysia. Sememangnya ia menjadi satu perkara yang amat molek dan baik kerana semua manusia sememangnya menginginkan keadilan,keamanan dan penambahbaikan. Tahniah dan Syabas kepada mereka2 yang sudah mendapat hidayah dari Allah dan didoakan semoga istiqomah dalam hidayah tersebut.
Cuma disini suka saya mengingatkan dan menasihati semua pejuang-pejuang agama Allah tidak kira yang sudah lama,juga tidak ketinggalan mereka yang baru menjejakkan kaki ke dalam perjuangan. Berkenaan aqidah perjuangan. Perkara ini amat penting dititikberatkan agar perjuangan kita selari dengan kehendak dan ajaran Islam. Saya memetik tulisan Al-marhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor sebagai tatapan saya sendiri dan kalian semua...semoga kita mengambil manfaat bersama-sama...saya harap kalian dapat habiskan bacaan yang agak panjang ini. Janganlah malas menuntut ilmu kerana malas adalah peng'hijab' dari kita mendapat Ilmu...:)
MUQADDIMAH
Aqidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan aqidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.
Definisi Aqidah
Dari segi bahasa aqidah berasal daripada perkataan ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan yang kukuh.
Menurut istilah syara’: Aqidah ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan keadaan.
Aqidah Islamiyyah ialah satu ikatan yang menghubungkan antara makhluk (yang dicipta) dengan Allah sebagai Khaliq (pencipta). Ia dibina di atas Rukun Iman.
“…Dan barangsiapa yang engkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat dan tidak akan putus…”
(Surah Al-Baqarah : 256)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu...”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah : 2)
3 Unsur Utama Aqidah
- Tidak mencari Tuhan selain Allah S.W.T
- Tidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah
- Tidak mencari hakim selain Allah
Perjuangan Kita
Sesungguhnya aqidah ini wajib diperjuangkan. PERJUANGANNYA IALAH MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH DAN MERUNTUHKAN SEGALA KEKUFURAN. Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang hanya menumpukan amal untuk dirinya sendiri tanpa ada hubung kait dengan masyarakat. Aqidah ini bukan untuk dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ia juga bukan hanya perlu diperjuangkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukan hanya diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul atau para ulama’, bahkan seluruh umat Islam. Sebagaimana Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut di dalam al-Quran dalam banyak ayat tentang aqidah dan perjuangan. Disebut tentang kewajipan berada dalam perjuangan ini seiring dengan perintah beriman kepada-Nya. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat akan Rasul (untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut.”
(Surah An-Nahl : 36)
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh melakukan yang ma’ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar serta beriman kepada Allah.”
(Surah Ali Imran : 110)
“Perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama semuanya hanyalah untuk Allah.”
(Surah Al-Anfal :39)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta benda dan dirinya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang akan melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaf : 10-11)
Perjuangan ini adalah jihad. Aqidah dan jihad ibarat sebatang pokok yang mana aqidah sebagai akarnya dan pucuknya adalah jihad.
Kecacatan Aqidah Tanpa Perjuangan
Jika kita lihat masyarakat Islam pada hari ini dapat kita lihat betapa sedikitnya golongan yang memperjuangkan Islam. Agama dianggap hak individu. Padahal Islam bukan agama individu, tetapi agama jamaah. Pandangan sesetengah anggota masyarakat kita, “biarlah dia (orang yang melakukan kemungkaran). Kita jaga diri kita cukuplah”. Mereka kedekut untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai. Ini sebenarnya aqidah yang tidak jelas. Para penjajah pada era penjajahan dahulu, amat suka golongan macam ini. Walaupun ‘abid (orang yang kuat beribadat), tetapi tidak ambil kisah soal orang lain, soal negara dan sebagainya. Asalkan tidak mengganggu ibadat khususnya. Lebih malang apabila ada golongan yang hendak memperjuangkan undang-undang Islam, politik Islam, maka akan dianggap salah. Sedangkan kita sedia maklum tentang kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan kewajipan beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tidak ada seorang Rasul pun yang bersenang-lenang tanpa perjuangan menegakkan Islam. dan jika tidak kerana perjuangan orang-orang terdahulu menyebarkan Islam, mungkin Islam tidak akan sampai ke nusantara ini.
Setiap individu Muslim wajib berjuang menegakkan Islam. lebih-lebih lagi pada saat ini di mana tiadanya satu khilafah ataupun daulah yang melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menggunakannya dengan adil. Malah, ummat Islam sebahagiannya dijajah oleh Barat dan Yahudi.
Golongan yang tidak berjuang untuk Islam mereka juga tidak selamat. Allahu Subhanahu Wa Ta’ala mengingatkan kita akibat meninggalkan perjuangan menegakkan agama Allah dalam Al-Quran dalam beberapa kisah. Di sini saya memetik peristiwa pada hari Sabtu kaum Nabi Musa a.s.
“Tanyakanlah kepada mereka tentang negeri yang terletak berhampiran laut. Ketika mereka melanggar perintah Allah pada hari Sabtu, ketika ikan-ikan mereka datang terapung-apung (di muka air) pada hari Sabtu, sedangkan pada hari (yang lain) bukan hari Sabtu tiada datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka orang-orang fasiq. Ketika segolongan di antara mereka itu berkata: Mengapa kamu menasihati kaum, sedang Allah akan membinasakan mereka itu atau menyiksanya dengan seksaan yang keras? Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk meminta uzur (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu dan mudah-mudahan mereka itu bertakwa. Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan ‘azab yang keras, disebabkan mereka fasiq. Setelah mereka sombong (melanggar) apa yang terlarang, Kami berfirman kepada mereka: Jadi keralah kamu serta terusir.”
(Surah Al-A’raaf : 163-166)
Dalam ayat lain, Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut:
“Terlaknatlah orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka (terhadap Allah Ta’ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah kemungkaran di kalangan mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka.”
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Tidak ada dari Nabi yang diutus dalam ummat sebelumku, kecuali dari ummatnya terdapat orang-orang yang membelanya dan sahabat-sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan meneladani perintahnya. Kemudian setelah itu akan datang orang-orang yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan tangannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan lisannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji jagung.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu ataupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang Islam)”.
Kecacatan Perjuangan Tanpa Asas Aqidah Yang Kukuh
Diriwayatkan dari Abu Musa r.a.:
Seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang jihad: “Orang yang berjuang atau berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahukan supaya namanya disebut, orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang berperang kerana keberanian semata-mata, orang yang berjuang kerana perkauman, atau kerana kekeluargaan, ataupun kerana fanatic keturunannya, ataupun berperang kerana marah, maka siapakah yang dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah mereka yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Dari Amirul Mukminin Umar Ibnu Al-Khattab r.a. katanya:
Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah (bergantung) dengan niat. Dan sesungguhnya setiap apa (yang dilakukan oleh) manusia itu (balasannya atas) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dikecapinya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ia berhijrah kerananya.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan Islam
1. Supaya jelas matlamat perjuangan
Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya
2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya:
يارسول الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله
Maksudnya : Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat lain “ Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “ Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?.” Rasulullah s.a.w menjawab :” Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah
2 kisah dalam peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara ini lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a.w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka
3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:
قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka
4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :
وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين
Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar
5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ
Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya
6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan
قَالَ الرَّسُوْلُ : لا دين لمن لاأمانة له
قَالَ الرَّسُوْلُ : يا أبا ذر إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من آخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم
Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya
7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam
فرمان الله تعالى دالم أية 19 سورة التوبة :
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى سبيل الله لايستون عند الله والله لايهدى القوم الظــلمين
Maksudnya : Adakah mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim
8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam
9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .
Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: “ Kami telah beriman “, sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.
10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan
Firman Allah S.W.T dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :
ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون
Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan
11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
12. Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan
120 سورة االأنعام :
وذروا ظــهر الإثم وباطنه إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون
Maksudnya : Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan apa yang mereka telah kerjakan
Pesan Sayyidina Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.
Perjuangan ini hendaklah didasari dengan aqidah. Tanpa aqidah maka perjuangan menjadi batil, sebagaimana orang-orang munafiq yang ikut Rasulullah dalam peperangan, tetapi mereka tiada Aqidah Islamiyyah. Perjuangan sebegini tidak diterima oleh Allah.
Aqidah yang lemah akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan mudah goyah dan juga akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia yang sementara apabila aqidah kita tidak kukuh.
Penutup
Justeru, hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri sejauh manakah kedudukan iman dan aqidah dalam perjuangan kita. Di samping kita beramal secara jama’ie dan amal ijtima’ie, jangan kita lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah di malam hari dengan berqiamullail dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kita juga perlu menekankan amalan-amalan tazkiyatunnafs (mendidik jiwa), amalan-amalan fardi (individu) supaya kita benar-benar berjuang pada landasan aqidah. Dalamilah ilmu aqidah/ilmu tauhid/ilmu usuluddin/ilmu kalam. Biarlah hubungan kita rapat dengan Allah supaya perjuangan kita tidak terpesong dengan keinginan duniawi. Tidak disekutukan dengan sesuatu dan hanya bermatlamatkan Allah. Jangan kita terlalu asyik mengutamakan ilmu-ilmu haraki dan gerak kerja sedangkan ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu feqah, ilmu aqidah kita tidak dalami, dan jangan pula kita asyik dengan amalan-amalan fardi (individu) sehingga melupakan tanggungjawab kita terhadap masyarakat. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam perjuangan ini hanya untuk Allahu Subhanahu Wa Ta’ala.
Aqidah mestilah diperjuangkan,
Dan perjuangan mestilah berteraskan aqidah.
.:: Arkib Permata ::.
-
▼
2012
(277)
-
▼
May
(51)
- Golongan Yang Menzalimi & Dizalimi
- PAS Perguna Artis???
- Cara Elak Maksiat....
- Mahasiswi UKM HILANG...
- Mufti Azhar | Basyar WAJIB diBUNUH!!!
- Describe Your Header
- سبحان الله | Penemuan Ikan Baru di Laut Merah!
- [video]Ustaz Fathul Bari :Melenting Isu KPOP!
- Tidak Perlu Buruk Sangka Artis Berubah!
- Siapa Aku dihadapan-NYA???
- SMMS: Terkilan Dengan Penganjuran Himpunan Jutaan ...
- Kekecohan : Pemimpin2 Parti Perlu Mainkan Peranan!
- Drag Batle :Satu Peringatan...[+ video]
- Mesir pun ade Pengundi Hantu..huhu..
- Stereng Lock : Amacam..Ade Bran?
- Alahai Tok Siak..
- Kantoi : Kuota Dikurang Sebab Proses Pembangunan
- ٍٍSelamat Pengantin Baru Sahabat..
- Selamat Imtihan Sayang...^_^
- Blogger Munafiq
- Whoa..femes PMku masuk paper HK! - Tuya..Tuya
- Pandai Tapi tak minat Politik?ini Jawapannya...
- Gura Bewok
- [Video Penuh] Debat PTPTN : KJ vs Rafizi
- [video]Perjuangan atas dasar kepentingan tidak aka...
- Berbondong-bondong menyertai Perjuangan..tapi....
- Keperluan Muzakarah
- Tahniah TRW!!!
- Durian Runtuh,Adik-Bradik Putuh!
- Apa Masalah Malaysia Sekarang??
- MAIDAM buat Program tergesa-gesa?
- Adab Berbeza Pendapat
- Kempen mengundi Tahun 1955...sekarang??
- Tuduh Sesat Tapi Suruh Contohi...Haha
- Bila Nur Allah Menyapa...
- Terjun kereta : Kasihnya Seorang Ayah terhadap Ana...
- Isu BERSIH Makkah & Madinah
- Hukum Hunger Strikes di Palestine
- Hindari Politik Fitnah Dan Maki Hamun
- Ya,kalian berhimpun secara aman,tapi kenapa perlu ...
- Fitnah : Takutlah Azab Allah!
- Bila Orang Cina Terkejut Org Islam Kata Tok Guru K...
- BERSIH 4.0 : Idea Hebat KP!!!
- Filem Al-Azhar 2012
- Majoriti Melayu : Selamatkan Melayu @ Selamatkan U...
- Terkini: Rakyat Malaysia Dilarang ke Mekkah Selama...
- Hasrat Pelajar Malaysia mengadakan perhimpunan Ber...
- Erti Integriti Sebuah Badan Bebas.
- FATWA BIAR MENYELURUH!!!
- Utusan Malaysia Perlu Bertindak Matang
- Ulike!!!!
-
▼
May
(51)