Posted by : Yu. Syamz May 31, 2012


Kita harus mengakui hakikat bahawa adalah amat sulit bagi mana mana insan untuk berlaku adil kepada Allah Taala, kepada manusia, kepada haiwan bahkan untuk berlaku adil kepada diri kita sendiri pun.


Jika kita tidak dapat berlaku adil kepada diri kita sendiri ertinya kita melakukan kezaliman kepada diri kita sendiri. Kalau kita tanpa berhenti dan bertaubat kepada Allah, Nerakalah padahnya.Kalau diri kita yang kita sayangi kita tidak berlaku adil bahkan kita menzalimi, apakah ada satu jaminan yang kita boleh berlaku adil kepada manusia atau makhluk yang lain? Apakah kita boleh menyayangi orang lain daripada diri kita? Kalau kita tidak sayang pada diri kita, bolehkah kita menyayangi diri orang lain, kalau kita sanggup menzalimi diri sendiri, apakah jaminan kita tidak menzalimi orang lain?

Di dunia hari ini penuh dengan penzaliman.
Dunia pada hari ini penuh dengan kezaliman dengan berbagai-bagai bentuk dan berlaku di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang dilakukan oleh individu, kaum, puak, parti, golongan dan bangsa. Tidak ada bumi di dunia ini yang tidak berlaku penindasan dan penzaliman itu, sama ada menusia itu sedar atau tidak. Berlakunya penzaliman terhadap Allah Taala, penzaliman terhadap manusia, penzaliman terhadap haiwan dan penzaliman terhadap diri sendiri. Kemudian penzaliman itu ia berlaku pula di dalam berbagai-bagai aspek.

Penzaliman itu ia berlaku di dalam pendidikan, berlaku di dalam ekonomi, berlaku di dalam politik, di dalam pentadbiran, di dalam kemasyarakatan, di dalam ketenteraan, di dalam kebudayaan, di dalam kekeluargaan, di dalam perhubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.

Justeru itu tidak hairanlah kita bahawa di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, tidak ada tempat yang tenang yang tidak ada pergolakan, di sana-sini berlakunya berbagai-bagai krisis, perselisihan, pergeseran, pergaduhan, jauth-menjatuhkan, kata-mengata, umpat-mengumpat, fitnah-menfitnah, hina-menghina, pakatan jahat atau konfrantasi, tangkap-menangkap, tuduh-menuduh, demontrasi, pemberontakan seterusnya peperangan.

Di dalam seseorang atau satu puak atau satu golongan atau satu parti atau satu bangsa itu dizalimi, di masa yang sama mereka menzalimi pula. Di dalam satu sudut mereka kena zalim, di sudut yang lain mereka menzalim pula. Di dalam mereka dituduh, mereka menuduh pula. Jadi zalim-menzalim itu telah berlaku di antara satu sama lain, di antara satu puak dengan satu puak. Kalau begitu di mana golongan yang adil?

Sesetengah mereka kalau tidak menzalimi manusia, mereka menzalimi Allah Taala. Kalau tidak menzalimi Allah Taala, mereka menzalimi manusia. Kalau tidak mereka menzalimi manusia atau Tuhan, mereka menzalimi haiwan. Kalau tidak mereka menzalimi haiwan, manusia atau Tuhan, mereka akan menzalimi diri sendiri sehingga yang paling kejam iaitu bunuh diri. Bahkan ada yang lebih kejam lagi dari itu iaitu mereka menzalimi Tuhan, menzalimi manusia, haiwan dan diri sendiri.

Jauhilah perbuatan zalim

Di dalam ajaran Islam perbuatan menzalim sangat dilarang. Ia termasuk dosa besar kerana menzalim itu merosakkan kehidupan manusia. Sama ada fiziknya, hartanya, maruahnya, kedudukannya atau lain-lain lagi. Maka kerana itulah dosa menzalimi ini di dunia lagi Allah Taala akan menghukumnya atau membalasnya sebelum dilakukan di Akhirat. Lebih-lebih lagi kalau orang kita zalim itu ialah ibu bapa atau guru kita.

Justeru itu ada Hadis menyebut:
Maksudnya: “Hendaklah kamu takuti doa orang yang dizalimi kerana tidak ada di antaranya hijab dengan Allah Taala.”

Maksudnya, doa orang yang dizalimi terus Allah Taala terima sekalipun dia orang kafir. Maka akan nahaslah orang yang menzalim itu di dunia lagi.Oleh itu berhati-hatilah kita agar jangan sampai menzalimi makhluk Allah Taala kerana hukumannya akan berlaku didunia lagi. Sama ada cepat atau lambat, jangka pendek mahupun jangka panjang. Bentuk atau sifatnya yang sama dengan orang yang dizalimi atau Allah Taala datangkan dengan bentuk atau sifat yang lain. Adakalanya apa yang Allah Taala balas itu, orang yang menzalim itupun telah lupa di atas perbuatan zalimnya di suatu hari dulu.

Mungkin dia dihukum lambat sehingga dia tidak dapat hubungkaitkan dengan perbuatannya dahulu, kecuali orang yang prihatin atau peka sahaja yang sedar atau dapat hubungkaitkan.

Marilah sama-sama kita insaf, terutamanya penulis agar jangan kita menzalim. Kalau sudah terlajak cepat-cepatlah kita memohon maaf sebelum tibanya hukuman daripada Allah Taala, sama ada di awal, di pertengahan, atau di hujung hidup kita. Apatah lagi di Akhirat, sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.
Moga-moga Allah Taala sentiasa menjauhkan kita daripada perbuatan zalim. Amin.


Sumber: Fitrah Islami Online

Leave a Reply

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩
Terima kasih kerana sudi membaca artikel yang dimuatkan di sini,jadi sudilah kiranya utk mengulas@memberi komentar disini :

1. Jagalah adab menegur
2. Sila gunakan nama@link utk kemudahan bersama
3. Terima kasih sudi komen..
4. Boleh Guna Kod² Seperti Ini <b>, <i>, <a>

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

.:: Arkib Permata ::.

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -